BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri akan menganjurkan acara Jualan Aneka Brunei 2017 bermula 22 Mei hingga 2 Julai depan yang dihasratkan untuk menyumbang ke arah meningkatkan kegiatan ekonomi negara menerusi harga jualan murah yang menarik.
Acara yang akan berlangsung selama 42 hari itu juga dihasratkan untuk menggalakkan orang ramai membeli-belah di negara ini khususnya bersempena musim perayaan Hari Raya yang akan tiba.
Sehubungan itu, JPKE menjemput para peniaga di negara ini untuk menyertai serta menyokong acara Jualan Aneka Brunei 2017 berkenaan.
JPKE dalam kenyataan yang dikeluarkannya, hari ini, menjelaskan bahawa semua peserta acara Jualan Aneka Brunei 2017 akan menawarkan potongan harga tidak kurang daripada 20 peratus, sekurang-kurangnya bagi 60 peratus stok barangan yang dipamerkan di premis. Bagi kedai runcit serta kedai elektrik dan elektronik, sekurang-kurangnya 15 jenis barangan hendaklah ditawarkan potongan harga.
Bagi selebih 40 peratus barangan yang dipamerkan di premis, peserta perlulah menawarkan potongan harga di antara 10 peratus ke 20 peratus. Di samping itu, tawaran tersebut hendaklah diberikan promosi tambahan seperti belian-atas-belian (BAB), hadiah, baucar, kupon dan sebagainya yang bersesuaian dan berfaedah.
Sebagaimana yang diper-untukkan di bawah Peraturan 9(1) di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga (Harga Jualan Murah), 2012, setiap barangan jualan dikehendaki mempamerkan tanda harga yang jelas dan nyata.
Bagi acara Jualan Aneka Brunei 2017, setiap barangan yang ditawarkan dikehendaki mempunyai tanda harga asal, harga selepas potongan dan/atau peratus potongan.
Setiap peserta akan menerima notis penyertaan daripada JPKE yang perlu dipamerkan di kawasan perniagaan masing-masing agar mudah dilihat oleh para pengunjung.
Syarikat perniagaan tidak dibenarkan untuk mengadakan mana-mana acara harga jualan murah 14 hari sebelum bermulanya acara Jualan Aneka Brunei 2017. Hari terakhir bagi mengadakan acara harga jualan murah adalah pada 7 Mei 2017.
Para peniaga boleh mengisi borang makluman acara Jualan Aneka Brunei 2017 bermula 4 hingga 18 Mei 2017. Borang makluman dan garis pandu penyertaan boleh diperolehi daripada laman sesawang JPKE iaitu www.depd.gov.bn atau di Bilik 3.04, Tingkat 3, West Wing, Bangunan JPKE, Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping.
Borang makluman dan senarai harga boleh dihadapkan melalui e-mel di sales@jpke.gov.bn.
Bagi sebarang pertanyaan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Hal Ehwal Pengguna, JPKE di talian 2230223 semasa waktu pejabat atau melalui Facebook www.facebook.com/AduanPenggunaJPKE atau e-mel aduanpengguna@jpke.gov.bn.
JPKE berharap orang ramai akan memberi sokongan kepada acara jualan berkenaan dan pada masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati dan mengamalkan konsep ‘Pengguna Bijak’ semasa berbelanja dengan membuat perbandingan harga barangan bagi mendapatkan harga yang berbaloi dan memuaskan.