Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Jualan beralih ke alam maya

    GEDONG – Selepas lapan tahun menghasilkan dan menjual produk kraf tangan secara kecil-kecilan, kini selaras dengan perkembangan teknologi, pengusaha Sazemi Kraf di Kampung Gedong, Sarawak, Salmiah Kamaludin sudah mula memasarkan produk hasil tangannya di ruangan maya bagi menembusi pasaran yang lebih luas.

    Salmiah, 39, menghasilkan produk kraf tangan seperti tikar, beg dan bakul menggunakan tali anyaman plastik, optimis dengan adanya perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan Gedong, produknya dapat dipasarkan ke seluruh negara dengan mudah.

    Gedong, sebuah daerah baharu dalam Bahagian Samarahan yang dilancarkan baru-baru ini oleh Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bakal menerima manfaat lonjakan aktiviti ekonomi apabila ia akan dibangunkan menjadi sebuah bandar satelit.

    Menurut Salmiah, sebelum ini dia hanya bergantung kepada keluarga dan kenalannya sendiri dalam usaha mempromosikan produk kraf tangan pelbagai corak dan motif, yang dihasilkan secara sepenuh masa di rumah.

    “Dengan bantuan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Keluarga Malaysia Kampung Gedong, saya dapat memasarkan hasil kerja saya ke dalam platform digital seperti di Facebook dan Shopee supaya ia lebih dikenali dan mudah didapati,” katanya kepada Bernama.

    Siti Hawa Saleh melipat kain songket Sarawak yang telah siap ditenun di premisnya. -Bernama
    Pengusaha produk kraftangan Sazemi Kraf, Salmiah Kamaludin bergambar dengan sebahagian produk hasil tangannya sebelum dipasarkan secara maya agar dapat menembusi pasaran lebih luas dengan bantuan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Keluarga Malaysia Kampung Gedong. –Bernama

    Jelas Salmiah, dia turut memanfaatkan penggunaan internet dengan mempelajari teknik dan cara membuat produk kraf tangan, yang secara purata dapat dihasilkan dalam tempoh antara tiga hari hingga seminggu mengikut jenis produk.

    Malah, pendapatannya hasil menjual produk secara dalam talian sudah melonjak kira-kira 85 peratus kepada RM1,500 sebulan, dan dia berharap perniagaannya dapat berkembang lebih pesat dengan bantuan perkhidmatan internet yang stabil.

    Sementara itu, Pengurus PEDi Kampung Gedong, Noor Azriezda Suliman berkata sehingga kini, pusat itu telah membantu melatih 46 usahawan di sekitar Kampung Gedong dengan memperkasa dan menyokong ekonomi digital setempat.

    Daripada jumlah itu, seramai 24 usahawan kecil sudah mempunyai platform e-dagang sendiri dengan bantuan PEDi yang memainkan peranan membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan melalui platform dalam talian.

    “Bagi program keusahawanan, kami menyediakan latihan untuk platform e-dagang seperti Shopee serta me-nerapkan nilai dan cara berkomunikasi dengan baik melalui internet dengan program advokasi,” katanya.

    Sementara itu pemilik dan pengusaha Siti Sri Songket, Siti Hawa Saleh yang mengusahakan produk tenunan songket Sarawak secara komersil turut bercadang mengaplikasikan penggunaan platform e-dagang dalam mempromosikan produknya.

    Jelas Siti Hawa, 51, dia mula menjalankan perusahaan tenunan songket miliknya sejak setahun lepas, setelah terlibat dalam aktiviti menenun songket secara sambilan sejak berusia 23 tahun.

    “Dengan adanya kemudahan internet sekarang ini, saya bercadang untuk melibatkan perniagaan saya secara langsung secara dalam talian dengan bantuan anak-anak yang akan menguruskan proses jualan,” katanya yang mengusahakan perusahaan songket itu bersama suaminya, Sahad Musilu, 53. –Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...