Jualan Black Friday cecah AS$7.4 bilion

NEW YORK, 1 DIS – Jualan online Black Friday di Amerika Syarikat (AS) mencecah AS$7.4 bilion pada tahun ini, dengan pertambahan dalam jumlah transaksi yang dibuat daripada telefon pintar, menurut data yang dikeluarkan semalam oleh Adobe Analytics.

Angka tersebut adalah pertambahan 19.6 peratus berban-ding tahun lalu dan jualan online kedua terbesar, kata syarikat, lebih rendah daripada AS$7.9 bilion yang dibelanjakan oleh pengguna pada Cyber Monday tahun lalu, yang menyusuli Black Friday. Adobe Analytics mengukur transaksi 80 daripada 100 peruncit online terbesar AS.

Tahun ini, 39 peratus daripada pembelian online dilakukan daripada telefon pintar, pertambahan 21 peratus berbanding tahun lalu.

“Dengan Krismas semakin dekat, pengguna menggunakan telefon mereka dan bukannya beratur dalam barisan,” kata Taylor Schreiner, penganalisis utama dan ketua Adobe Digital Insights. Barang mainan paling laris termasuk anak patung L.L.L Surprise dan produk yang memaparkan ‘Frozen 2’ dari Disney. Dalam kategori permainan video, produk paling laris adalah FIFA 20, Madden 20 dan Nintendo Switch.

Elektronik paling popular pula adalah komputer riba Apple, AirPods dan TV Samsung. Adobe Analytics menganggarkan Cyber Monday akan melihat jualan rekod berjumlah AS$9.4 bilion, pertambahan hampir 19 peratus berbanding tahun lalu. – AFP

Seorang lelaki membawa beg membeli-belah di jalan depan kedai Macy’s di San Francisco pada Jumaat, 29 November. – AP