Jualan buku sekolah agama, Arab secara dalam talian

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Kurikulum telah membukakan perkhidmatan penjualan buku-buku persekolahan agama dan Arab secara dalam talian bermula 1 November lalu dengan memastikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah pengawalan dalam menangani jangkitan wabak COVID-19.

Menurut kenyataan KHEU, melalui perkhidmatan tersebut, orang ramai boleh menghubungi talian 8330062 atau menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram bagi sebarang pesanan pembelian atau maklumat lanjut mengenainya.

Manakala itu, bagi proses pembayaran pula, orang ramai juga boleh memilih untuk menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian (BIBD Online Bill Payment) di samping secara tunai mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

Perkhidmatan secara dalam talian itu dihasratkan dapat memudahkan orang ramai khususnya para ibu bapa atau penjaga dan warga sekolah untuk membeli dan memiliki buku-buku berkenaan.

Ia bukan sahaja untuk memenuhi keperluan dalam tempoh pandemik ini bahkan akan terus dilaksanakan sebagai satu usaha Jabatan Pengajian Islam dalam meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan yang sedia ada melalui pendekatan perkhidmatan secara dalam talian bagi sama-sama mendukung dasar kerajaan dalam Pelan Ekonomi Digital.