Oleh Pg Fairol RMF & Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, pelbagai cenderamata kenang-kenangan turut dijual semasa sambutan berkenaan di Bandar Seri Begawan pagi tadi.
Produk-produk cenderamata Jubli Emas ini adalah seperti penggantung kunci, foto-foto Kebawah Duli Yang Maha Mulia, baju-T Polo dan bermacam-macam lagi barangan yang dijual dengan harga berpatutan di Pentas Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien Bandar Seri Begawan.
Sheila Khor dari sebuah syarikat cenderahati tempatan berkata, jualan cenderamata Jubli Emas ini bertujuan untuk sama-sama memeriahkan lagi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Menurutnya, sambutan daripada orang ramai begitu menggalakkan dan diharap produk-produk tersebut akan laris dijual sebagai kenangan mereka pada masa depan.


Produk cenderamata berkenaan boleh didapati di kedai-kedai cenderahati di ibu negara dan juga di Seria.
Menurut wakil Kedai Souvenir LTAB, jualan sebegini secara tidak langsung akan dapat mempromosi dan memperkenalkan Negara Brunei Darussalam kepada para pelancong yang kebetulan mengunjungi Negara Brunei Darussalam semasa sambutan berkenaan.
Antara jualan cenderamata yang telah mendapat sambutan menggalakkan ialah baju-T polo Jubli 50 yang mempunyai corak dan warna yang berbeza dan menarik.