Jualan jagung kurang terkesan serangga perosak

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Permintaan jagung di Negara Brunei Darussalam setakat ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai walaupun baru-baru ini Brunei tidak terkecuali diserang oleh serangga perosak tanaman yang dikenali sebagai Ulat Ratus Falls.

Sehubungan dengan itu, wartawan Media Permata menemu bual salah seorang peniaga jagung di Kampung Sungai Tilong, Berakas.

Dayang Zaiton binti Khamis berkata, jagung-jagung yang dijual adalah jagung tempatan dari Kampung Junjungan dan keadaan jagung adalah baik, dan belum mendapati sebarang ulat perosak di dalamnya.

Namun, jika ada jagung yang dilihat buruk dan mungkin ada ulat perosak, ja-gung berkenaan tidak akan dijual dan akan dibuang serta merta.

“Alhamdulillah, memandangkan pengimportan jagung dari negara jiran masih terhad, kami beralih kepada jagung tempatan dan akhir-akhir ini permintaan jagung tempatan meningkat.

Belum ada lagi aduan daripada orang ramai mengenai jagung-jagung buruk akibat serangga perosak,” jelasnya.

Wartawan juga berkesempatan mengunjungi Pasar Borong di Kampung Sengkurong/Selayun dan mendapati beberapa penjaja juga masih menjual jagung-jagung tempatan.

Menurut Haji Puasa bin Berudin, beliau masih menjual jagung-jagung yang diambil dari beberapa kampung dan sambutannya amat menggalakkan lebih-lebih lagi pada bulan Syawal.

Beliau juga menyedari berita yang diwartakan oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan mengenai serangan serangga perosak yang dikenali sebagai Ulat Ratus Falls, dan apa yang diketahuinya, pemilik kebun jagung di negara ini sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan memeriksa keadaan jagung-jagung mereka.

Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) bulan lalu memaklumkan bahawa hasil daripada pemantauan yang dibuat oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah mendapati bahawa pada masa ini terdapat sejenis serangga perosak tanaman yang dikenali sebagai Ulat Ratus Fall atau nama saintifik Spodoptera frugiperda yang menyerang dan merosakkan tanaman jagung di Negara Brunei Darussalam.

Rata-rata para penjaja yang ditemu bual memberitahu jagung-jagung yang dijual adalah adalah dalam keadaan baik dan belum mendapati sebarang ulat perosak (seperti gambar sisipan) di dalamnya.