HANOI, 11 Jan – Jumlah jualan kenderaan di Vietnam pada tahun 2017 adalah 272,750 unit, mencatatkan kejatuhan tahun demi tahun sebanyak 10 peratus, menurut Persatuan Pengilang Automobil Vietnam hari ini.
Khususnya, jualan kereta penumpang menurun 15 peratus, kenderaan komersial seperti lori, pikap dan van menurun sebanyak 2 peratus dan kenderaan kegunaan khas menurun sebanyak 12 peratus.
Jualan kenderaan yang dikeluarkan secara domestik jatuh sebanyak 19 peratus, manakala kenderaan yang diimport meningkat 9 peratus, menurut persatuan itu.
Jualan lebih kecil pada tahun 2017 terutamanya disebabkan sikap tunggu dan lihat daripada bakal-bakal pembeli yang menunggu harga lebih rendah kenderaan yang diimport pada tahun 2018, menurut pakar tempatan. Pada Januari 2018, cukai import ke atas kenderaan telah berkurangan kepada kosong peratus sejajar dengan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN.
Jumlah penjualan kenderaan di Vietnam akan meningkat kepada lebih 284,400 unit pada tahun 2018, mengikut ramalan syarikat penyelidikan sejagat BMI Research.
Permintaan bagi kenderaan penumpang akan didorong oleh pengurangan kadar cukai ke atas kenderaan dengan saiz enjin 2.0 liter atau kurang dan penghapusan cukai ke atas unit yang dibina sepenuhnya dari negara anggota ASEAN pada Januari 2018, menurut firma berpusat di London.
Vietnam telah membelanjakan lebih 5.3 bilion dolar AS dengan mengimport kenderaan dan komponen untuk pemasangan di antara tahun 2017, jatuh 10.5 peratus berbanding 2016, menurut Pejabat Perangkaan Umum. – Xinhua