Thursday, February 20, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan Kuih-muih Belia buka tirai

    Oleh Imelda Groves HA

    Gambar oleh Bahiyah Bakir

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Jualan Kuih-muih Belia ke-15 sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang telah dibukakan kepada kunjungan orang ramai di Dewan Riadah Pusat Belia, di sini, hari ini.

    Pelancaran jualan berkenaan telah disempurnakan oleh isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Nurhayana Nur Janis binti Abdullah Lim.

    Kira-kira 100 jenis kuih-muih dan 50 jenis kek boleh didapati pada jualan yang akan berlangsung sehingga penghujung bulan Ramadan ini.

    Acara berkenaan merupakan salah satu aktiviti ke arah memajukan diri para belia dan melalui lanjutan Akademi Masakan Pusat Belia yang diadakan setiap tahun.

    Ia bertujuan untuk memberi belia kemahiran dalam bidang masakan seterusnya mewujudkan semangat berusaha untuk menjadi seorang usahawan yang berdikari.

    Tetamu kehormat majlis Datin Nurhayana Nur Janis, ketika memotong reben bagi melancarkan Jualan Kuih-muih Belia ke-15.
    Tetamu kehormat ketika menyaksikan pelbagai jenis kuih-muih yang dijual.

    Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengukuhkan lagi kemahiran belia-belia yang mengikuti Program Akademi Masakan Pusat Belia dalam menguruskan acara.

    Program juga merupakan praktikal dalam mendedahkan belia-belia dalam pengurusan sesebuah perniagaan itu secara bersistem sebelum mereka menjadi seorang atau kumpulan belia yang berjaya memiliki ilmu keusahawanan.

    Program-program keusahawanan yang diungkayahkan di Pusat Belia adalah medan untuk mereka berjuang dan meraih ilmu perniagaan.

    Tahun ini merupakan kali ke-15 acara seumpamanya diadakan dan setiap tahun terdapat peningkatan dalam jualan kuih-muih, yang mana dua peratus daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada tabung amal.

    Ketua Biro Keusahawanan Kelab Komuniti Belia Transformasi (KBBT), Awang Mohammad Khirudddin bin Zul Iskandar dan penolongnya, Awang Mohd Waie Al-Syafiq bin Mohd Shafiee dalam temu bual ringkas menerangkan bahawa dengan adanya aktiviti jualan seperti ini akan dapat menggalakkan para belia terutama ahli-ahli KBBT untuk turut serta belajar berniaga secara lebih praktikal.

    Mereka juga menjelaskan, pelbagai jenis kuih-muih dan kek boleh didapati pada jualan berkenaan bagi memudahkan orang ramai membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda