Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Jualan Mega Brunei mulai 11 April ini

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Jualan Mega Brunei (JMB) 2022 akan diadakan bermula 11 April hingga 31 Mei di mana ia merupakan usaha kerajaan bagi membukakan peluang kepada para peniaga untuk sama-sama memainkan peranan dalam meningkatkan aktiviti perekonomian domestik berikutan pemulihan ekonomi daripada wabak COVID.

    Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengumumkan acara jualan mega seluruh negara yang akan berlangsung selama 51 hari itu dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

    Menurut kenyataan itu, jualan mega ini merupakan masa yang penting pada 2022 kerana semua warga tempatan mula giat membuat persiapan untuk meraikan musim perayaan Hari Raya di bulan Ramadan dan Syawal.

    JPES menggalakkan penyertaan para peniaga dari pelbagai sektor dengan menawarkan diskaun menarik ke atas barangan yang dijual dan tawaran-tawaran yang kreatif terutama sekali bagi produk-produk buatan tempatan dalam mendukung usaha bagi merangsang kegiatan dan pertumbuhan ekonomi.

    Dalam kenyataannya lagi, JPES mengingatkan para peserta JMB 2022 untuk mematuhi Peraturan-peraturan Jualan Murah dan Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), 2011, termasuk memastikan amalan perniagaan yang beretika dan memberikan diskaun yang tulen.

    Para peniaga dikehendaki untuk membekalkan maklumat yang benar semasa pemeriksaan dijalankan.

    Pemalsuan harga diskaun untuk mengelirukan pengguna atau kegagalan menyediakan maklumat yang benar adalah menjadi satu kesalahan di bawah Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar) dan Peraturan-peraturan Jualan Murah yang boleh dikenakan denda maksimum $20,000 dan lima tahun penjara.

    JPES dalam kenyataannya menyatakan bahawa barangan yang ditawarkan potongan harga hendaklah dibubuh tanda harga yang terang dan jelas selaras dengan Peraturan Paparan Tanda Harga bagi memastikan ketelusan harga serta membolehkan pengguna membuat keputusan pembelian yang bermaklumat.

    Selaras dengan Peraturan-peraturan Harga Jualan Murah, notis jualan yang dikeluarkan oleh JPES hendaklah dipaparkan dengan terang, jelas dan nyata atau tersedia pada bila-bila masa sebagai pengesahan penyertaan dalam JMB 2022.

    Semua peniaga yang ikut serta dalam acara itu akan disenaraikan dalam platform tambahan dalam aplikasi mudah alih, PenggunaBijak, bagi tujuan publisiti dan meningkatkan visibility.

    Penyertaan dalam JMB adalah dibukakan serta merta dan para peniaga hanya perlu menghadapkan borang penyertaan ke JPES. Borang penyertaan berkenaan boleh dimuat turun dari laman sesawang JPES, www.jpes.gov.bn/cad dan hendaklah dikembalikan melalui e-mel ke sales@jpes.gov.bn.

    Para peserta dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Bagi sebarang pertanyaan boleh disalurkan kepada JPES melalui aplikasi mudah alih, PenggunaBijak, e-mel, sales@jpes.gov.bn atau talian, 2230223 (semasa waktu bekerja).

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...