Jualan Nestle meningkat

ZURICH, 18 April – Syarikat gergasi makanan Swiss Nestle berkata hari ini jualannya telah meningkat, dirangsang oleh pemerolehan baru-baru ini termasuk hak untuk memasarkan produk kopi Starbucks di pasar raya di seluruh dunia.

Nestle melaporkan kenaikan sebanyak 4.3 peratus dalam jualan pada suku pertama tahun ini kepada 22.2 juta francs Swiss.

Pemerolehan terbaharu menyumbang kepada 1.2 peratusan mata daripada kenaikan tersebut.

Dalam beberapa tahun ini, syarikat tersebut telah menerima tekanan daripada pemegang saham untuk menambah jualan dan keuntungan, dan telah merombak portfolionya yang termasuk lebih 2,000 jenama, termasuk nama popular seperti makanan anak damit Gerber’s, air berkarbonat Perrier dan ais krim Haagen-Dazs di samping coklat.

Nestle, yang memiliki kapsul Nespresso dan jenama kopi segera Nescafe, telah menjadikan kopi satu keutamaan dalam strategi pertumbuhannya, termasuk pemerolehan berjumlah AS$7 bilion pada Ogos lalu untuk hak memasarkan kopi Starbucks di luar rangkaian kafenya. Kumpulan itu telah berusaha untuk mengembang kehadiran kopinya di Amerika Syarikat, di mana ia telah membeli saham majoriti dalam jenama Blue Bottle Coffee yang berpangkalan di California dan memperoleh jenama Texas Chameleon Cold Brew.

Ketua Eksekutif Mark Schneider memaparkan pelancaran 24 produk kopi premium di bawah Starbucks dalam suku itu. – AFP

Mark Schneider bercakap semasa mesyuarat pemegang saham tahunan pada 11 April lalu di Lausanne. – AFP