KUALA LUMPUR, 11 MAC – Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat 7.7 peratus tahun ke tahun kepada RM120.5 bilion pada Januari 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang mencatatkan pertumbuhan positif 7.3 peratus kepada RM49 bilion, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perdagangan borong juga berkembang sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun kepada RM58.6 bilion sementara kenderaan bermotor melonjak 19.4 peratus tahun ke tahun kepada RM12.9 bilion.
“Bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit turun 0.2 peratus, disebabkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang menguncup 11.5 peratus,” tambah beliau.
Mohd Uzir menambah pertumbuhan subsektor perdagangan runcit pada Januari 2022 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 10.1 peratus atau RM1.7 bilion kepada RM18.2 bilion.
Begitu juga kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif termasuk jualan runcit bahan api kenderaan (19.5 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (7.1 peratus); jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (8.4 peratus) dan jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (5.0 peratus).
Ketua Perangkawan seterusnya memaklumkan indeks jualan runcit melalui internet pada Januari 2022 merekodkan pertumbuhan 20.5 peratus tahun ke tahun.
Bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit pada Januari 2022 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.6 peratus, disumbangkan oleh kenderaan bermotor yang meningkat 16.3 peratus. – Bernama