Thursday, April 24, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan produk tempatan di CAEXPO memberangsangkan

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    NANNING, CHINA, 14 Sept – Syarikat Seri Pekatan Sdn Bhd yang mengetengahkan produk keropok udang buatan Brunei berjaya menjual hampir 100 peratus produknya hanya dalam masa dua hari semasa pameran di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-14 yang berlangsung di Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa Nanning (NICEC) di sini.

    Menurut Pegawai Pengurus Eksekutif, Hajah Noor Monasaliena @ Suzie binti Haji Mohd Salleh hari ini, produk jualan mereka hampir habis terjual dalam masa dua hari sahaja, di mana pada hari pertama pendapatan jualan mereka sudah mencecah $1,000 dan diikuti pada hari kedua dengan mengaut lebih $2,000.

    Menurutnya, pada hari pertama sejumlah 139 botol kanister terjual, manakala pada hari kedua terjual sejumlah 249 botol daripada sejumlah 500 botol kanister yang dibawa dan bercadang untuk menyambung dengan jualan keropok-keropok mentah yang sebenarnya hanya untuk pameran setelah produk kanister laris terjual.

    Penyertaan syarikat itu di dalam CAEXPO merupakan penyertaan kali kedua bagi mewakili Negara Brunei Darussalam dan pada tahun ini, menampilkan produk keropok sedia dimakan dan dibungkus dengan penampilan bungkusan baru yang sudah dinilai tambah yang sebanding penampilannya dengan kanister keropok luar negara.

    “Pada tahun ini, kami membawa empat perasa iaitu udang, makanan laut, ikan dan sotong. Nampaknya ia mendapat sambutan hangat daripada masyarakat Cina di sini sehingga ada yang mahu memborong kesemua jualan kami pada hari pertama, tetapi saya menolaknya kerana mahu memberikan peluang dulu kepada pengunjung lainnya mengenali dan merasakan sama produk kami,” katanya.

    Syarikat Taman Kelulut Baitun Na’imah Al-Wafirah, mengetengahkan produk kesihatan Madu Kelulut serta beberapa jenis sabun yang dicampur dengan madu.

    Beliau memberitahu syarikat tersebut mengambil langkah untuk menambah nilai produk mereka dari segi pembungkusan dan keropok sedia dimakan memandangkan ketika penyertaan mereka tahun lepas, produk keropok dibawa secara mentah tidak mendapat sambutan yang baik.

    Sementara itu bagi pemilik Syarikat Taman Kelulut Baitun Na’imah Al-Wafirah, Hajah Rokiah binti Haji Awang Enchi yang menyertai CAEXPO buat kali pertama berkongsi pengalaman mereka berhadapan dengan masalah dari segi komunikasi bahasa dan memerlukan bantuan penterjemah bahasa. Semasa ekspo tersebut, syarikat berkenaan menampilkan produk madu kelulut dan tiga jenis sabun buatan syarikat itu sendiri iaitu Aloe Vera bercampur madu, sabun pegaga dengan madu dan sabun madu biasa, selain membawa produk yang juga dibuat sendiri, teh herba dan kerepek sayur pegaga.

    Produk-produk yang diketengahkannya pada CAEXPO telah diluluskan oleh pihak-pihak berkenaan dari segi kesihatan, kebersihan dan khasiat madu kelulut dan produk yang mereka hasilkan daripada madu tersebut.

    Sementara itu sebuah lagi syarikat yang mengetengahkan produk kecantikan dan kesihatan, Betye Beauty and Health Establishment yang diwakili bersama oleh Pengasas dan Pengurus Am syarikat itu, Dayang Normazi Rozita binti Omar dan suaminya Awang Roslan bin POKP Haji Manan memberitahu produk buatan mereka itu dibuat sendiri di kediaman mereka di Rancangan Perumahan Negara Kampung Bukit Beruang, Daerah Tutong dan sudah diusahakan selama lima tahun dan tahun ini merupakan kali ketiga syarikat itu menyertai CAEXPO.

    Produk krim tangan dan badan yang mereka hasilkan, jelasnya lagi, mendapat sambutan hangat dari pengunjung ekspo sehingga hampir 50 peratus telah terjual. Produk yang dihasilkan daripada minyak kelapa muda dikategorikan kepada produk sabun kecantikan, minyak urut aroma terapi dan serum serta krim tangan dan badan.

    Menurut Dayang Normazi Rozita, produk mereka mendapat sambutan dari segi haruman organik yang semula jadi dan juga manfaat produk mereka itu.

    Manakala seorang lagi pengusaha muda yang menyertai CAEXPO buat pertama kalinya, Dayang Edy Zurina, dari Syarikat As Salwaa Beauty, menampilkan produk buatannya sendiri dan telah dirasmikannya semasa CAEXPO sempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Pavilion Komoditi Negara Brunei Darussalam baru-baru ini.

    Beliau juga turut menjunjung kasih ke hadapan Baginda Sultan kerana berkenan menandatangani plak perniagaan syarikat itu.

    Produk mekap 3 dalam 1, hasil ciptaannya sendiri, berbentuk gincu begitu mudah digunakan dan sepanjang dua hari ekspo di sini, pengunjung memberikan sambutan hangat ke atas produk itu yang turut menampilkan reka bentuk yang.

    Turut mengambil bahagian dalam eskpo tersebut ialah Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang mempromosikan universiti berkenaan kepada kalangan pelajar-pelajar di China.

    UBD menawarkan program sepenuh masa untuk mendapatkan Ijazah Sarjana, PhD dan lainnya dalam harga yang berpatutan iaitu kira-kira $3,000 setahun di mana ianya adalah sangat murah berbanding Negara Amerika Syarikat dan United Kingdom.

    Penyertaan Negara Brunei Darussalam pada CAEXPO ke-14 tertumpu pada dua buah pavilion, iaitu Pavilion ‘City of Charm’ dan Pavilion Komoditi, di mana sebanyak 119 buah syarikat tempatan telah mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh mereka.

    Syarikat-syarikat Brunei yang menyertai ekspo terdiri daripada pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, kosmetik, fesyen dan tekstil, pendidikan serta perkhidmatan industri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda