Jualan runcit China meningkat, ekonomi pulih

BEIJING, 15 SEPT – Jualan runcit China meningkat pada Ogos untuk kali pertama sejak pandemik koronavirus melanda, data menunjukkan hari ini, tatkala pegawai berusaha memulakan sektor pengguna domestik untuk memarakkan pemulihan dalam ekonomi nombor dua dunia.

Perbelanjaan tetap lembap sebelumnya meskipun China berjaya mengawal virus, dengan pembeli-belah masih hati-hati disebabkan ketidakpastian global – namun ahli ekonomi percaya data terbaharu mencadangkan pemulihan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh. Petunjuk utama sentimen pengguna meningkat 0.5 peratus pada bulan lalu. Satu tinjauan penganalisis oleh Bloomberg News meramalkan tiada pertumbuhan.

Beijing telah menambah inisiatif seperti festival membeli-belah dan kempen baucar untuk merangsang perbelanjaan pengguna.

Bacaan terbaharu adalah peningkatan susulan kemerosotan 1.1 peratus yang dilihat pada Julai dan lebih baik daripada kemerosotan 20.5 peratus yang dicatat dalam tempoh Januari hingga Februari apabila jutaan orang dikenakan sekatan untuk menghalang virus daripada menular.

Dengan permintaan luar dijangka tetap lemah tatkala rakan perniagaan utama China bergelut untuk mengawal penyakit, China telah menambah usaha untuk menggalakkan pengeksportnya menyasarkan pasaran tempatan.

Ahli ekonomi Oxford Economics Louis Kuijs berkata pemulihan ekonomi ‘berada pada haluan kukuh sekarang, dengan pertumbuhan pelaburan yang kukuh, momentum penggunaan yang berpulih beransur-ansur dan eksport yang memberangsangkan.”

Hari ini, jurucakap Biro Statistik Nasional Fu Linghui memberitahu wartawan bahawa ekonomi China mempunyai ‘pemulihan yang mampan.’ – AFP

Gambar yang diambil kelmarin menunjukkan pekerja bekerja di sebuah kilang pemasangan kereta di Dongfeng di Wuhan, wilayah tengah Hubei, China. – AFP