Wednesday, February 19, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan runcit S’pura merosot

    SINGAPURA, 12 April – Jualan runcit Singapura merosot sebanyak 2.5 peratus pada Februari, kata Jabatan Statistik Singapura (SingStat) hari ini.

    Jualan runcit merosot 4.9 peratus tahun-ke-tahun tidak termasuk kenderaan motor, kata SingStat dalam laporan. Jumlah nilai jualan runcit pada Februari dianggarkan pada 3.3 bilion dolar Singapura, sama dengan jumlah pada Februari 2016.

    Jualan runcit bulan-ke-bulan meningkat 2.3 peratus pada Februari, tambah SingStat. Tidak termasuk kenderaan motor, jualan runcit meningkat 0.4 peratus.

    Jualan runcit makanan dan minuman, pasar raya, gedung membeli-belah serta pakaian dan kasut merosot di antara 12.5 peratus dan 17.4 peratus pada Februari.

    Begitu juga, jualan runcit pasar raya kecil dan kedai mudah beli serta peralatan komputer dan telekomunikasi merosot 8.9 peratus dan 5.7 peratus masing-masing dalam tempoh yang sama.

    Sebaliknya, jualan runcit stesen perkhidmatan petrol meningkat 14.6 peratus pada Februari berbanding Februari 2016.

    Jualan runcit kenderaan motor, barangan perubatan dan kelengkapan tandas, barangan rekreasi, perabot dan peralatan rumah, barangan optik dan buku serta jam tangan dan barang kemas juga naik di antara 0.1 peratus dan 0.4 peratus pada tahun-ke-tahun.

    Untuk perkhidmatan makanan dan minuman, jualan untuk sektor tersebut pada Februari merosot 7.4 peratus tahun-ke-tahun, mencatat kemerosotan sebanyak 4.8 peratus bulan-ke-bulan.

    Jumlah nilai jualan perkhidmatan makanan dan minuman pada Februari dianggarkan pada 657 juta dolar Singapura, lebih rendah daripada 710 juta dolar Singapura dalam tempoh yang sama pada 2016. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda