Jualan telefon pintar global merosot

WASHINGTON, 2 JUN – Jualan telefon pintar global mencatat kemerosotan paling teruk dalam suku pertama tatkala pandemik koronavirus menjejas perbelanjaan pengguna, kata penjejak pasaran semalam.

Tinjauan Gartner mendapati kemerosotan 20.5 peratus dalam tiga bulan pertama tahun ini.

Kemerosotan berlaku di tengah ketidakpastian ekonomi serta lockdown di kebanyakan negara di dunia pada Mac, kata Gartner.

Satu lagi faktor adalah penutupan kilang, kebanyakannya di China, yang menghasilkan handset untuk kebanyakan pengeluar telefon pintar global, kata penganalisis di Gartner.

Data menunjukkan Samsung sedang mengekal kedudukan pertama dengan 18.5 peratus pasaran walaupun jualan merosot lebih daripada 22 peratus.

Huawei kekal di tempat kedua dengan 14.2 peratus bahagian pasaran, selepas kemerosotan 27 peratus dalam jualan untuk syarikat gergasi China yang dikenakan sekatan AS. Apple menduduki tempat ketiga, melihat kemerosotan lapan peratus, justeru memberikan firma AS 13.7 peratus bahagian pasaran.

“Apple mempunyai permulaan yang kukuh pada awal tahun disebabkan produk baharu yang melihat momentum kukuh di seluruh dunia,” kata Annette Zimmermann, naib presiden penyelidikan di Gartner.

Jualan global berjumlah 299 juta unit dalam suku berbanding dengan 375 juta setahun lalu. – AFP