Jualan tiket final piala FA ‘hambar’

ALOR SETAR, 23 Julai – Suasana penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 membabitkan Kedah dan Perak di Stadium Darul Aman di sini, hambar sejak ia mula dibuka pada 10.30 pagi tadi.

Tinjauan Bernama mendapati lima kaunter jualan tiket lengang selepas 15 minit dibuka kepada orang ramai walaupun pada awalnya kelihatan ramai penyokong beratur panjang sejak awal pagi tadi.

Sehingga 1 petang tadi, hanya kelihatan beberapa orang penyokong Lang Merah membeli tiket di kaunter tanpa ada sebarang kekalutan dan kekecohan seperti tahun-tahun sebelum ini.

Seorang penyokong setia Kedah, Siti Laila Mastura Hashim, 30, berkata, penjualan tiket kali ini dianggap ‘bersejarah’ kerana tidak berlaku adegan tolak-menolak hingga ada yang pengsan semata-mata untuk mendapatkan tiket ke perlawanan akhir.

Beliau dan lima rakannya dari Kulim tekad datang sejak malam tadi serta ‘bermalam’ di perkarangan stadium bagi memastikan tidak terlepas mendapatkan tiket perlawanan.

Penyokong Skuad The Bos Gaurus memenuhi kaunter tiket bermula 10.30 pagi bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 membabitkan dua gergasi Perak menentang Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.
Penyokong skuad bola sepak Perak mula berkampung di pekarangan stadium untuk mendapatkan tiket sejak tengah malam tadi.
 – Bernama

“Saya ingat tahun ini pun jadi kecoh, tapi Alhamdulillah pagi ini prosesnya berjalan lancar dan dapat beli tiket dengan selesa walaupun di awal tadi ada penyokong menjerit-jerit minta kaunter dibuka lebih awal,” katanya.

Zamri Musa, 31, pula berkata jualan tiket yang hambar itu mungkin disebabkan oleh kekalahan pasukan Kedah pada perlawanan terakhir Liga Super setelah tewas 5-1 di tangan Felda United pada Ahad lalu.

“Kekalahan itu menyebabkan keinginan penyokong ke Stadium Nasional Bukit Jalil terbantut selepas melihat prestasi permainan Kedah yang dilihat terumbang-ambing ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Anas Hafiz Mustafa menolak persepsi berkenaan sebaliknya percaya penyokong mempunyai alasan tersendiri untuk tidak datang membeli tiket lebih awal seperti biasa.

“Kita sediakan 20,000 tiket dan kaunter dibuka sehingga 4.30 petang ini, jadi jangan jadikan kekalahan dengan Felda United sebagai kayu pengukur, saya minta penyokong berpandangan positif dan turunlah beramai-ramai memberi sokongan agar Piala FA menjadi milik kita,” katanya yang turut berpuas hati dengan proses penjualan tiket yang tersusun serta lancar.

Beliau berkata, jika masih terdapat baki tiket yang belum dijual hari ini, pihaknya bercadang untuk mendapatkan kebenaran menjualnya di Stadium Shah Alam nanti bagi memudahkan penyokong di sana mendapatkan tiket.

Menyentuh mengenai layangan kad merah terhadap, Renan Da Silva Alves ketika bertemu Felda United sehingga menyebabkan pemain import itu tidak dapat beraksi pada pertemuan akhir nanti, katanya KFA akan merayu secara rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini agar Renan dapat beraksi Sabtu ini. – Bernama