Jualan ubat veterinar dalam talian membimbangkan

SHAH ALAM – “Magic All In One”!  Produk yang sangat berkesan menyembuh pelbagai jenis penyakit haiwan kesayangan anda. Dengan sekali makan, kucing tidak bermaya akibat selesema, cirit-birit dan macam-macam lagi penyakit boleh sembuh.

Hebat sungguh iklan yang dipaparkan dalam laman media sosial ini. Produk yang diiklan itu dijual pada harga RM50 sahaja.

Iklan produk ini turut menarik perhatian pekerja swasta yang dikenali sebagai Amri, 35, untuk mencuba “ubat”  tersebut bagi merawat kucing kesayangannya bernama Brownie yang sudah beberapa hari tidak sihat.

Beliau menjadi yakin apabila membaca komen netizen di laman sosial yang memberikan komen positif lagi pun kesuntukan masa untuk membawa kucing kesayangannya berjumpa doktor veterinar.

Bagaimanapun, kucingnya yang berusia enam bulan itu bukannya semakin sembuh selepas diberi “ubat magic” tetapi bertambah teruk keadaannya. Hanya terbaring, tidak mampu makan, mengalami sawan dan kejang satu badan.

Akhirnya  Amri bergegas membawa Brownie ke klinik veterinar berdekatan.

Dr Salehatul Khuzaimah dalam satu temu ramah bersama Bernama berkata, setiap penyakit haiwan memerlukan rawatan berbeza bergantung kepada penyakit yang dihadapinya. – Bernama
Dr Salehatul Khuzaimah menasihatkan pemilik haiwan peliharaan untuk memainkan peranan mereka dengan menjaga kebajikan haiwan kesayangan ketika dalam satu temu ramah bersama Bernama. – Bernama

Bagaimanapun, dalam keadaan kecemasan begini, apa yang boleh doktor haiwan buat hanyalah  memberi rawatan sokongan seperti masukkan air untuk stabilkan keadaannya pada masa sama menyiasat apakah rawatan yang diberikan sebelum ini.

“Siasatan ini perlu kerana amat penting bagi doktor mengetahui sejarah perubatan sebelum memberikan rawatan pada haiwan berkenaan. Betapa terkejutnya saya apabila Amri memberitahu saya dia membeli ubat di Internet untuk mengubati penyakit kucingnya.

“Brownie walau bagaimanapun tidak dapat diselamatkan disebabkan keadaannya sudah sangat kritikal,” kata Dr Perubatan Veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali kepada Bernama ketika berkongsi antara kes rawatan yang pernah dikendalikannya akibat pembelian ubat laman maya.

Beliau sudah berkecimpung lebih 11 tahun dalam dunia perubatan veterinar.

KES SALAH RAWATAN

Dr Salehatul Khuzaimah yang juga merupakan Pengarah Serv-U Veterinary Clinic dan Trio Veterinary Clinic berkata kliniknya di Kota Kemuning banyak menerima kes salah rawatan akibat pembelian ubat di laman maya yang digunakan untuk mengubati haiwan peliharaan mereka.

Paling menyedihkan, apabila kebanyakan pemilik haiwan ini meletakkan harapan sangat tinggi bahawa doktor veterinar boleh memperbaiki kesilapan yang mereka buat iaitu dapat menyembuhkan kembali kucing atau anjing peliharaan dengan kadar segera selepas kegagalan ubat tersebut.

Walhal, tindakan tidak beretika individu ini yang merawat sendiri binatang kesayangan mereka tanpa melakukan pemeriksaan rapi oleh doktor berkelayakan sebenarnya telah mempertaruhkan nasib haiwan berkenaan sehingga boleh membawa maut seperti dialami Brownie.

“Penjualan ubat untuk haiwan peliharaan pada masa ini agak membimbangkan sama ada dalam bentuk pil mahupun suntikan ubat terkawal seperti antibiotik dan anti-kurap. Ini bukan isu persaingan tetapi yang kita risau dalam kalangan doktor veterinar adalah nasib haiwan.

“Sebenarnya, mungkin kucing itu demam biasa tetapi menjadi kronik selepas menggunakan ubat yang dibeli di Internet. Mungkin ubat itu sudah tamat tarikh luput, sah atau tidak, pun kita tidak tahu, mungkin ubat tiruan dan dos diberikan mungkin terlebih.

“Apa yang berlaku pada Brownie adalah dos ubat Magic All In One yang disyorkan dalam iklan tersebut adalah tinggi serta tidak sesuai pada anak kucing itu sehingga merosakkan organ dalamannya seperti buah pinggang dan akhirnya maut,” katanya.

Menurut Dr Salehatul Khuzaimah, tidak ada istilah ubat yang diberikan nama Magic All In One dalam bidang perubatan veterinar yang boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit haiwan seperti didakwa iklan berkenaan.

Ini kerana setiap penyakit haiwan memerlukan rawatan berbeza bergantung kepada penyakit yang dihadapinya selain pemeriksaan rapi seperti sejarah perubatan binatang tersebut sebelum ini, umur, berat badan, mengandung atau tidak, menyusu mahupun sebaliknya wajib diambil kira sebelum preskripsi ubat.

SEMUANYA ANTIBIOTIK

Ada sesetengah ubat tidak boleh diberikan untuk rawatan sesuatu penyakit. Begitu juga dengan haiwan mengandung mahupun menyusukan anak tidak boleh diberikan sebarangan ubat selain pemberian dos perlu diberi penekanan penting.

Menurut Dr Salehatul Khuzaimah, kalau terlebih dos boleh merosakkan hati, buah pinggang yang serius kerana kebanyakan ubat akan melalui dua organ tersebut untuk diproses.

“Bila sudah terlebih, organ-organ ini tidak dapat menanganinya dan kerana itulah pentingnya diperiksa dahulu oleh doktor veterinar,” jelasnya.

Mengulas mengenai Magic All In One, beliau berkata ia sebenarnya adalah sejenis ubat antibiotik yang kekuatannya bertahap tinggi dan hanya digunakan untuk kes tertentu.

“Tetapi peniaga tidak bertanggungjawab menyalahgunakan ubat antibiotik untuk merawat segala penyakit, ini sangat berbahaya,” katanya.

Kebimbangan beliau ada asasnya kerana penggunaan antibiotik secara tidak terkawal dan tidak kena pada punca penyakit sangat berisiko menyebabkan berlakunya kekebalan antibiotik.

 Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana kekebalan antibiotik boleh mengakibatkan bakteria lali dengan kesan ubat-ubatan sedia ada dan menyukarkan sesuatu penyakit itu dirawat sehingga boleh menyebabkan kematian.

Menurut Dr Salehatul Khuzaimah, pemilik haiwan perlu diberi kesedaran dan pendidikan bahawa bukan semua jenis penyakit boleh sembuh dengan ubat antibiotik seperti juga manusia yang tidak boleh mengambil antibiotik sesuka hati tanpa preskripsi doktor.

“Masih ramai pemilik haiwan beranggapan antibiotik adalah ubat terbaik untuk merawat semua penyakit binatang kesayangan mereka. Ini persepsi salah kerana bukan semua penyakit disebabkan bakteria.

“Ada yang disebabkan virus, fungus mahupun alergik pada sesuatu. Misalnya, banyak agen yang boleh menyebabkan kucing itu selsema biarpun simptomnya sama.

“Kena tahu apa punca kucing itu selesema. Kalau kucing itu selesema disebabkan alergik, takkanlah nak bagi antibiotik pula,” jelasnya.

Biarpun demikian, beliau berkata penjualan ubat haiwan yang berleluasa di laman media sosial mahupun platform membeli-belah dalam talian bukanlah hanya antibiotik tetapi pelbagai. Antaranya, ubat kutu, kurap, mata yang sebenarnya perlu diberikan dengan pengawasan doktor dan ahli farmasi sahaja.

TINDAKAN TEGAS

Dr Salehatul Khuzaimah berharap pihak berkuasa memantau dan mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan penjualan ubat haiwan di laman media sosial itu.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan pemilik haiwan untuk memainkan peranan mereka dengan menjaga kebajikan binatang kesayangan mereka.

“Kata sayang tetapi mengapa kita dedahkan kucing, anjing yang dibela dengan risiko sedemikan rupa? Kebanyakannya memberi alasan tidak mampu pergi ke klinik veterinar untuk mendapatkan rawatan bagi haiwan mereka.

“Tetapi, apabila mereka memberi ubat tanpa pengawalan doktor, sebenarnya itu lagilah meningkatkan kos rawatan. Misalnya, kucing itu mungkin demam biasa dan kos rawatan di klinik anggaran dalam RM100.

“Bagaimanapun, gara-gara memakan ubat yang dibeli dalam talian menyebabkan kucing itu menjadi lebih teruk keadaannya sehingga memerlukan pelbagai rawatan dan kos menjadi lebih mahal,” katanya.

Beliau juga berkata, penyalahgunaan ubatan sehingga boleh menyebabkan penganiayaan kepada haiwan adalah satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan (AWA) 2015 yang dikuatkuasakan pada Julai 2017.

Akta Kebajikan Haiwan 2015 memperuntukkan hukuman lebih berat iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda lebih tinggi ke atas mereka yang melakukan kekejaman ke atas haiwan.

PERANAN RAKYAT

Sementara itu, Presiden Persatuan Doktor Veterinar Malaysia (VAM), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor  berkata ahli Persatuan itu tidak terlibat dalam penjualan ubatan veterinar di Internet.

VAM dianggotai seramai 1509 doktor veterinar merangkumi keahlian langsung VAM dan ahli persatuan sekutu VAM seperti Persatuan Kesihatan Dan Industri Pemakanan Haiwan Malaysia (MAHNIA).

Menurut Dr Norlizan, berdasarkan tinjauan VAM, jualan dalam talian itu dilakukan oleh pihak ketiga sama ada jurujual, syarikat jualan dalam talian atau orang perseorangan yang bukan doktor veterinar.

“Sebagai sebuah persatuan, VAM dengan kerjasama persatuan sekutunya memberi perhatian serius kepada penggunaan ubatan veterinar khususnya ubatan terlarang dalam kalangan ahlinya dengan sentiasa memberi peringatan mengenai keperluan perolehan dan penggunaan ubatan veterinar secara bijak dan profesional.

“Justeru, VAM menyeru masyarakat di negara ini untuk memberi kerjasama melaporkan aktiviti tidak bermoral ini kepada pihak berkuasa. Boleh laporkan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) kerana pengawalseliaan, pengimportan, penjualan, penyimpanan dan penggunaan ubatan manusia dan veterinar adalah di bawah bidang kuasanya,” tegas beliau. – Bernama