Juara Eropah kini intai mahkota Piala Dunia

MOSCOW, 13 Jun – Portugal telah mendapat bantuan dari Real Madrid dalam usaha negara itu bagi gelaran pertama Piala Dunia, meskipun ia akan menentang Sepanyol dalam perlawanan pembukaan.

Dengan merehatkan Cristiano Ronaldo bagi perlawanan kurang penting, pengurusan Madrid ke atas Ronaldo bermakna dia tidak terlalu letih di Rusia.

Pemain terbaik dunia sebanyak lima kali itu menerajui pasukan yang mencipta kemenangan gelaran pertama mereka semasa Euro 2016.

“Ronaldo sangat penting,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos, “tetapi kami sedar bahawa untuk menang kami perlu bermain sebagai sebuah pasukan.”

Santos mengakui bahawa Portugal bukanlah pesaing pilihan bagi gelaran di Rusia, meskipun skuadnya hampir sama dengan skuad yang menentang Perancis dua tahun lalu.

Jurulatih

Santos menghabiskan sebahagian besar kerjayanya melatih kelab-kelab di Greece dan Portugal, termasuk Porto, Sporting Lisbon dan Benfica, sebelum diberikan tugas mengendalikan pasukan Greece pada tahun 2010.

Ketika Portugal gagal mara daripada peringkat kumpulan 2014, Santos menjadi jurulatih pertama untuk menerajui Greece ke peringkat kalah mati Piala Dunia.

Penjaga gol

Rui Patricio bakal menjaga gawang Portugal sekali lagi dalam kejohanan kali ini selepas mengekalkan gawangnya tanpa bolos dalam aksi separuh akhir dan final Euro 2016.

Barisan pertahanan

Sama seperti setiap kejohanan utama sejak Euro 2008, pertahanan tengah dijangka diisi oleh veteran Pepe dan Bruno Alves.

Cedric Soares akan diletakkan di sebelah kanan, manakala pertahanan Borussia Dortmund Raphael Guerreiro di kiri. Jose Fonte dan Ruben Dias akan menjadi pengganti utama Santos di pertahanan tengah.

Barisan tengah

Joao Mario dan William Carvalho dijangka menguasai bahagian tengah sekali lagi, sementara Adried Silva dan Jaoa Moutinho berebut tempat bagi posisi pemain tengah menyerang bersama Bernardo Silva.

Barisan penyerang

Ini adalah kawasan Ronaldo. Selepas permulaan lembap, Ronaldo telah menemui semula konsistensi jaringannya di Real Madrid sejak Januari.

Menerajui serangan bersama Ronaldo kemungkinan besar adalah Andre Silva,22, yang membuat penampilan pertamanya pada tahun lepas semasa Piala Konfederasi, di mana Portugal menduduki tempat ketiga.

Nani dan Eder, yang menjaringkan gol kemenangan ke atas Perancis, tidak disenaraikan bagi kejohanan di Rusia itu.

Kumpulan B

Portugal akan memulakan kempen Piala Dunia mereka menentang Sepanyol pada 16 Jun dan kemudian menentang Maghribi 20 Jun. Mereka akan mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan menentang Iran pada 26 Jun. – AP