SYDNEY, 28 JULAI – Usaha juara dunia dalam sukan lontar lembing, Kelsey-Lee Barber untuk memenangi pertandingan Komanwel menerima tamparan hebat hari ini, ketika pemain dari Australia itu disahkan positif COVID, kata pegawai pasukan itu.
Barber, pemain yang berjaya meraih kemenangan keduanya minggu lalu di Eugene, Oregon di Amerika Syarikat (AS), menerima keputusan ujian positif di kem pasukan Australia menjelang Sukan Komanwel di Birmingham minggu ini.
Tetapi acara akhir bagi lontar lembing wanita tidak akan diadakan sehingga 7 Ogos, jadi beliau masih boleh sertai pertandingan.
“Kelsey-Lee Barber belum tersingkir daripada perlawanan,” beritahu pengurus prestasi tinggi pasukan, Andrew Faichney kepada media Australia.
“Saya perlu mengesahkan sekali lagi, tetapi saya fikir jawatankuasa penganjur telah berkata bahawa jika seseorang atlet itu sihat, maka mereka dapat bertanding, dan itulah yang kami usahakan,” katanya.
Sebelum ini, Barber berjaya memenangi pingat gangsa di acara Sukan Olimpik Tokyo, mempertahankan gelaran juara dunianya dengan lontaran sejauh 66.91 meter, mengatasi atlet dari AS, Kara Winger dan atlet Jepun, Haruka Kitaguchi.
Dia dianggap sebagai atlet pilihan utama di Birmingham selepas memenangi pingat gangsa dan perak pada dua edisi acara Sukan Komanwel yang lalu.
Faichney juga memberitahu kepada media tempatan bahawa pemenang pingat gangsa Olimpik, Ash Moloney tidak akan menyertai Sukan Komanwel.
Moloney terpaksa menarik diri daripada kejohanan dunia minggu lalu disebabkan kecederaan lutut dan dia masih belum sembuh. – AFP