Tuesday, May 30, 2023
22.7 C
Brunei

    -

    Juara peraduan fotografi bawa pulang $1,000

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Peraduan Fotografi sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 tahun 2022 telah dijuarai oleh Dayang Faridah binti Haji Jaya dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah $1,000 berserta sijil, yang diadakan di Balai Saymayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Berakas, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para pemenang dan panel hakim.

    Turut hadir dalam majlis tersebut ialah pengarah-pengarah di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta jabatan-jabatan di bawahnya; pegawai-pegawai kanan kerajaan, panel hakim dan peserta-peserta Peraduan Fotografi.

    Tempat kedua peraduan berkenaan dimenangi oleh Haji Mohd Yusof bin Haji Mohd Yassin, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $750 dan tempat ketiga dimenangi oleh Awang Mohd Abdul Azim Alexander bin Haji Jameel Ahmad, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $500. Manakala dua pemenang saguhati membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $250 seorang.

    Majlis juga diisikan dengan ucapan pengerusi iaitu Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa menyampaikan hadiah kepada wakil pemenang tempat pertama.

    Menurutnya, pendoku-mentasian dalam bentuk gambar memainkan peranan penting dalam memperkaya khazanah bangsa.

    Keperluan pendoku-mentasian bahan-bahan gambar amat penting sejajar dengan usaha DBP dalam menanamkan nilai nasionalisme dan semangat kemerdekaan kepada masyarakat.

    Pelaksanaan Peraduan Fotografi bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan merupakan salah satu strategi jabatan tersebut untuk mengupayakan dan mengerak aktifkan penglibatan penggiat seni fotografi seni tanah air dalam menghasilkan pendokumentasian dalam bentuk gambar mengenai sambutan berkenaan.

    Peraduan seumpama ini akan menjadi projek tahunan jabatan tersebut dan gambar-gambar yang dihasilkan oleh peserta-peserta peraduan saban tahun secara tidak langsung akan membantu meningkatkan koleksi khazanah bangsa yang memaparkan identiti dan jati diri negara.

    Selain itu, peraduan tersebut juga menjadi platform bagi mencari bakat-bakat baharu yang mampu meningkatkan karya seni fotografi yang bernilai tinggi dan diakui setanding dengan jurugambar-jurugambar profesional di negara ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Nepal sambut ulang tahun ke-70 pendakian Gunung Everest

    KATHMANDU, 29 MEI — Kerajaan Nepal hari ini memberi penghormatan kepada pendaki-pendaki pemegang rekod semasa sambutan pendakian pertama Gunung Everest 70 tahun lalu. Perayaan diadakan...
    - Advertisment -