MOSCOW, 24 Julai – Juara Rusia, Spartak Moscow masih tercari-cari kemenangan pertama mereka musim ini selepas diikat seri 0-0 di Ufa.
Peluang keemasan Spartak hadir di separuh masa pertama apabila Ze Luis telah memaksa penjaga gol Alexander Belenov menghasilkan aksi menyelamat luar biasa dengan rembatan jarak dekat.
Ze Luis terlepas satu lagi peluang di awal separuh masa kedua apabila tandukannya ditepis keluar oleh Belenov.
Pada minit ke-65, penyerang Ufa dari Nigeria, Sylvester Igboun berjaya menembusi gawang lawan namun jaringannya dibatalkan kerana ofsaid.
“Kami bermain perlawanan yang baik dan telah menunjukkan kemahuan yang kuat untuk menang namun ia tidak mudah,” kata bos Spartak, Massimo Carrera.
“Kami tidak cukup bernasib baik, kami tidak memberikan Ufa peluang tetapi gagal menyudahkan semua peluang kami. Keputusan seri itu adalah adil.”
Sementara itu, satu gol oleh pemain gantian di separuh masa kedua, Zaur Sadayev telah memberikan Akhmat Grozny kemenangan penting 1-0 di Rostov. – AFP