Juara terbuka AS tersingkir di Indian Wells

INDIAN WELLS, 14 OKT – Penyandang juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Daniil Medvedev tersingkir di Masters Indian Wells di pusingan keempat selepas tumpas kepada pilihan ke-23, Grigor Dimitrov 4-6, 6-4, 6-3.

Medvedev, yang memenangi Grand Slam pertamanya bulan lalu di Flushing Meadows, tidak pernah tumpas dalam sebarang set menuju ke pusingan keempat namun kali ini dia kalah dalam lapan permainan berturut-turut dan pukulan servisnya dipatahkan enam kali ketika bermain menentang Dimitrov sebelum tewas dalam pusingan awal.

Pemain nombor dua dunia ini tidak berehat selepas merangkul kejuaraan Terbuka AS dan berkata jadual padat akhirnya memakan dirinya.

“Saya memang rasa letih dalam kejohanan ini. Sekarang saya harus mengakuinya. Saya tidak boleh berkata sedemikian sebelum perlawanan.

“Ada beberapa faktor fizikal yang berperanan,” kata Medvedev yang berharap dapat memintas Novak Djokovic selaku pemain nombor satu dunia.

Medvedev berjaya memenangi set pertama dan mendahului 4-1 di set kedua dan kelihatan mampu mencatatkan satu lagi kemenangan mudah namun kesilapan dan pukulan servis memakan dirinya.

“Jika dia bermain seperti ini, terutama ketika saya mendahului 4-1, dia akan muncul juara. Dia beraksi dengan baik di set kedua berbanding dengan pemain lain yang pernah berdepan dengan saya di Terbuka AS. Saya bukan senang-senang memberikannya kemenangan,” kata Medvedev.

“Semuanya menjadi. Ia sangat luar biasa,” kata Dimitrov.

Dimitrov akan berdepan pilihan kelapan dari Poland, Hubert Hurkacz di suku akhir selepas pemain berkenaan mengetepikan Aslan Karatsev dari Rusia 6-1, 6-3. – AFP

Aksi Daniil Medvedev semasa mengembalikan bola kepada Grigor Dimitrov dalam kejohanan Terbuka BNP Paribas di Indian Wells Tennis Garden di Indian Wells, California, 13 Oktober. – AFP