Saturday, September 23, 2023
30 C
Brunei

    -

    Juara wusyu dunia Cheong Min, juga handal di dapur

    KUALA LUMPUR, 1 SEPT – Biarpun lebih dikenali dengan kehandalannya dalam seni mempertahankan diri wusyu, juara dunia Tan Cheong Min juga ‘tak kalah’ jika beraksi di dapur.

    Atlet berusia 25 tahun itu sudah mula ke dapur seawal usia 10 tahun untuk menolong ibunya, Goh Swee Lian, 49, menyediakan pelbagai hidangan buat mereka sekeluarga.

    Bakatnya itu turut diwarisi daripada bapanya, Tan Poh Chuan, 50, yang juga seorang tukang masak dan pengusaha kafe di Melaka.

    Kemahiran yang dimiliki Cheong Min benar-benar menggambarkan peribahasa ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’ apabila beliau kini mampu menyediakan pelbagai jenis hidangan, namun masakan stim menjadi masakan kegemarannya.

    “Saya memang suka makan, jadi sejak sekolah rendah usia 10 tahun lagi sudah mula masuk dapur tolong ibu memasak bersama adik-beradik yang lain. Lagi pun ayah saya adalah tukang masak yang membuka TFC Home Cafe di Melaka kira-kira enam tahun lalu.

    Gambar fail bertarikh 22 Februari 2020 menunjukkan Cheong Min bersama trofi yang dimenanginya dalam Anugerah Jagoan Nadi Arena 2019. – Agensi

    “Namun saya hanya akan memasak kalau berada di kampung di Melaka sebab dekat sini (Kuala Lumpur), saya menetap di asrama atlet yang disediakan di Bukit Jalil. Jadi tiada peralatan memasak yang boleh digunakan. Kalau balik saya selalu masak stim ayam dan ikan mengikut resipi keluarga,” katanya kepada Bernama.

    Meskipun mengharungi jadual latihan yang padat, anak jati Tanjung Minyak itu berkata beliau akan cuba mencuri masa mempelajari resipi masakan warisan turun-temurun keluarganya.

    Mengenai persiapan ke Sukan Asia, Cheong Min yang mula menceburi sukan berkenaan seawal usia sembilan tahun, berkata beliau sedang menjalani rawatan rehabilitasi bersama Institut Sukan Negara (ISN) berikutan kecederaan lama pada buku lali kaki kanannya.

    Katanya kesakitan akibat kecederaan yang dialaminya kira-kira lima tahun lepas, kembali ‘menghantui’ sewaktu sesi latihan baru-baru ini.

    Beliau bagaimanapun menganggap perkara itu adalah asam garam dalam kerjayanya sebagai atlet dan tetap bersedia untuk bertarung habis-habisan di temasya empat tahun sekali itu yang diadakan di Hangzhou, China, pada 23 September hingga 8 Oktober ini.

    “Persediaan ketika ini sudah mencecah 70 hingga 80 peratus. Namun saya sudah mendapat kebenaran doktor untuk bertanding kerana selepas makan ubat jadi baik,” katanya yang akan membawa cabaran Malaysia dalam acara Nanquan dan Nando. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...