Jude Bellingham kini milik Dortmund

BERLIN, 20 JULAI – Pemain remaja England, Jude Bellingham telah menyertai kelab Bundesliga, Borussia Dortmund dari kelab Kejuaraan Inggeris, Birmingham, kelab Jerman itu mengumumkan semalam.

Pemain berusia 17 tahun itu telah menandatangani kontrak jangka panjang dan akan menyertai skuad utama Dortmund mulai 30 Julai, kata Dortmund dalam satu kenyataan.
Kedua-dua kelab tidak mendedahkan butiran lebih lanjut, tetapi bayaran perpindahan dilaporkan sekitar 22 juta euro (AS$25 juta).

“Saya cukup berterima kasih kepada Birmingham City atas apa yang telah mereka lakukan untuk saya, bukan hanya tahun lalu tetapi sejak dari usia saya tujuh tahun lagi,” kata Bellingham.

“Namun, saya sangat gembira dapat menyertai salah satu kelab terbesar di Eropah. Pencapaian dan matlamat mereka membantu meningkatkan pemain muda menjadikannya keputusan yang mudah bagi saya dan keluarga.”

Selepas kejayaan Jadon Sancho, yang memasuki pasukan England pada tahun 2018 setelah menyertai Dortmund, Bellingham berharap dapat menjadi pemain Inggeris terbaharu yang akan mengikuti jejaknya.

“Jude memiliki potensi besar, dan kami ingin membantunya berkembang pada tahun-tahun mendatang,” kata pengarah sukan Dortmund, Michael Zorc. –AFP