Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 April – Lapan lelaki yang berdepan dakwaan terlibat dalam aktiviti perjudian dihukum denda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan denda $5,000 atau hukuman lima bulan penjara terhadap Ahmad Najib bin Mohd Hussin, 34, yang turut berdepan tuduhan membenarkan kediamannya sebagai tempat perjudian.
Tujuh lagi individu, Sea Kong Hin berusia 38 tahun, Sea Kong Lin, 38, Mohammad Azri bin Abdullah, 42, Samsul bin Enchie, 30, Awangku Mohammad Noh bin Pengiran Ahmad, 39, Mohammad Sah Rimi bin Haji Pudin, 34 dan Mohamad Reduan bin Damit, 34, dikenakan denda $1,000 setiap seorang atau berdepan hukuman sebulan penjara.
Kesemua mereka diberkas polis di kediaman Ahmad Najib di flat perumahan Kampung Beribi pada 24 Mei 2017 dan merampas permainan ‘Katam-katam’.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Eleana binti DP Haji Hairol Arni.
Dalam bilik mahkamah yang sama, tujuh lagi lelaki turut dihukum denda atas pertuduhan serupa.
Razali bin Haji Seri, 56, dijatuhi denda $5,000 manakala Morni bin Dzolkifli, 50, Assokan bin Kunjan Appu, 55, Jariad bin Tengah, 64, Rhymie bin Abdullah, 48, dan Abu Bakar bin Haji Jailani, 52, masing-masing dihukum denda $1,000 sementara Wong Jong Seng pula dijatuhi denda $3,500.
Kesemua mereka diberkas oleh polis, yang turut menemui permainan ‘Katam-katam’ di sebuah rumah di Jalan Maulana, Kuala Belait pada 16 Mei 2017 jam 6:20 petang.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Sharon Yeo.