Judi: 7 warga asing diberkas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Tujuh warga asing telah diberkas oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam operasi serbuan yang dijalankan di kawasan rumah pekerja binaan di Jalan Pantai Serasa, Kampung Serasa, malam kelmarin.

Menurut pihak polis, kesemua suspek iaitu lima lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 24 hingga 62 tahun.

Serbuan pada malam tersebut telah membongkar kegiatan perjudian jenis permainan dipercayai judi kolok-kolok yang merangkumi kertas permainan perjudian, dadu serta wang tunai taruhan dipercayai hasil daripada perjudian itu.

Kesemua suspek berserta peralatan-peralatan yang digunakan untuk perjudian dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.

PPDB menegaskan kepada masyarakat bahawa mengadakan atau mengendalikan sebarang acara keramaian yang melibatkan kegiatan perjudian adalah ditegah sama sekali bahkan ianya menyalahi undang-undang di negara ini.

Di samping itu juga, sebarang kegiatan perjudian yang dijalankan tidak akan memberikan sebarang impak positif terhadap pembangunan masyarakat bahkan ia lebih parah dan mendatangkan kesan-kesan negatif sekali gus menjadikan sesebuah masyarakat tersebut mengamalkan nilai-nilai yang tidak baik dalam kehidupan seharian mereka.

Peralatan-peralatan yang digunakan untuk perjudian ditemui di tempat kejadian. – Gambar serahan PPDB