Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhkan denda $6,000 ke atas seorang lelaki warga tempatan setelah mengaku bersalah menganjurkan permainan judi Katam-Katam.
Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nur Arifin bin Haji Abdul Hamid, 33, yang berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Menurut Pemangku Pendakwa Raya Dr Hussin Ali Idris, satu serbuan telah dijalankan pada 1 pagi 28 Januari 2020 oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) ke atas rumah defendan di Kampung Perpindahan Lambak Kanan di mana beberapa orang cuba melarikan diri telah ditahan dan pasukan polis merampas kain Katam-Katam bersama sejumlah wang tunai.
Siasatan mendapati bahawa defendan merupakan pemilik rumah tersebut dan seterusnya ditahan.




























