Jujur atau tidak?

Saya sebagai rakyat di negara ini ingin menimbulkan satu persoalan. Persoalan ini timbul berkaitan dengan aplikasi BruHealth yang kini digunakan di mana-mana dan akibat daripada pengalaman saya sendiri. Sejauh mana orang ramai bersikap jujur mengimbas kod QR BruHealth?

Seperti yang kita ketahui, untuk memasuki mana-mana premis atau kedai, kita disyorkan mengimbas kod QR di hadapan pintu masuk. Namun, timbul beberapa masalah di mana sesetengah orang merasakan ianya satu menyusahkan dan melambatkan mereka. Oleh itu, sesetengah orang ramai ini, hanya berpura-pura sahaja mengimbas kod QR berkenaan dengan niat untuk mengaburkan mata para pengawal atau pekerja premis bahawa mereka sudah mengimbas kod berkenaan.

Wahai sesetengah pengguna, kenapakah perlu berbuat demikian? Bukankah itu merupakan sesuatu yang baik untuk diri anda, keluarga anda dan orang lain. Jangan pentingkan diri sendiri, fikirkan orang lain juga. Kita semua berwas-was ketika ini kerana kita masih berada di bawah ancaman virus. Ada yang dengan bangganya menceritakan bahawa dirinya berpura-pura sahaja mengimbas kod. Bila ditegur dan dinasihati berang dan kononnya diri ini terlalu mengikut arahan kerajaan. Memang tidak dinafikan ia agak menyukarkan dan melambatkan kita, tapi kebaikannya demi kita sendiri juga dan orang lain.

Namun, saya tidak hanya menyalahkan para pengguna, premis-premis dan kedai-kedai buatlah dan sediakan salinan kod QR untuk memudahkan para pengguna supaya tidak mengakibatkan barisan yang panjang. Lebih-lebih lagi buat pengguna yang mengimbas bagi ahli keluarganya yang lain.

Buat laluan yang teratur, ini ada sesetengahnya keluar dan masuk tetap sama, bagaimana mahu memantau kemasukan orang ke dalam jika berbuat demikian? Cek suhu setiap yang memasuki premis bagi memastikan mereka betul-betul dibenarkan. Hal ini kerana tidak menjadi mustahil sesetengah orang tidak bersikap jujur ketika mengisi dan mengemaskini kod penilaian dalam aplikasi BruHealth.

Diharapkan pihak-pihak tertentu dan kerajaan mencari jalan lagi untuk memastikan penggunaan aplikasi BruHealth dan kod QR digunakan dengan secara jujur dan betul.

Pengguna