Julkarnain pemain terbaik pertandingan beyblade DBos Beys 2021

Gambar serahan DBos Beys Beyblade Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 DIS – Awang Julkarnain bin Haji Husin daripada Pasukan Santai Aja Bladers (SA) dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan DBos Beys Beyblade Brunei Darussalam bagi 2021.

Beliau berjaya menewaskan Awang Junaidi bin Mohammad Yusof daripada Jakusha Bla-ders (JB) 4 -1 dalam penentuan untuk bergelar juara sekali gus membawa pulang hadiah utama sebuah peti sejuk.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan DBos Beys Bey-blade Brunei Darussalam, Per-
tembungan tersebut bermula setelah Awang Julkarnain yang mengutip 11 mata berjaya menjadi juara pertandingan Battle of Judgement 64 Slot sekali gus berkongsi mata bersama JB Junaidi yang sebelum ini mendahului dengan 14 mata.

Pemilihan untuk menentukan pemain terbaik sepanjang 2021 bermula dari awal Januari sehingga Disember di mana kiraan mata berpandukan dengan kemenangan tiga teratas dalam pertandingan anjuran DBos Beys yang diadakan secara bersemuka sebelum gelombang kedua COVID-19 melanda pada Ogos lalu dan secara dalam talian menggunakan platform Zoom sepanjang empat bulan ini.

Terdahulu dalam pertandingan terakhir bagi 2021 iaitu Judgment 64 Slot Battle,
Awang Julkarnain berjaya menjadi juara setelah menewaskan Awang Abdul Yazid daripada Pasukan Ghostbeys dalam perlawanan akhir dengan kiraan mata 5-3 sekali gus berjaya membawa pulang hadiah ketuhar, pelitup muka, tiket percuma, sijil serta hamper.

Dalam Pertandingan Judgement 16 slot pula, juara disandang oleh Awang Mohammad Adam bin Rozaimi daripada Pasukan SA manakala tempat kedua dimenangi oleh Awang Mohammad Runi bin Haji Mohid daripada Underground Beys.

Sehubungan itu, majlis penyampaian hadiah telah diadakan di Teratak DBos Beys di mana penyampaiannya disempurnakan oleh Sir Skudi.

Kenyataan menyatakan, pertandingan beyblade yang diadakan sepanjang tahun ini adalah salah satu usaha untuk memperluaskan lagi permainan beyblade di negara ini terutamanya untuk menarik minat kalangan kanak-kanak dan orang dewasa tanpa mengira jantina di samping memperkenalkan beberapa format pertandingan yang telah dibuat melalui dalam talian ataupun bersemuka dengan mengikuti garis pandu yang ditetapkan oleh pihak berkenaan.

Awang Abdul Yazid menerima hadiah selaku pemenang kedua pertandingan Judgement 64 Slot Battle.
Juara keseluruhan sepanjang tahun disandang oleh Awang Julkarnain.