SELEPAS berjaya mendominasi carta selama tiga minggu, kedudukan Star Wars: The Last Jedi kelihatan semakin goyah dan berjaya diatasi oleh Jumanji: Welcome to the Jungle yang berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$36 juta setelah ditayangkan di 3,801 pawagam.
Dengan hasil kutipan terbaru itu secara tidak langsung telah menjadikan kutipan keseluruhan yang berjaya diperolehi oleh Jumanji bagi pasaran domestik menjadi AS$244 juta,
Filem terbitan Sony itu merupakan sekuel kepada filem yang pernah diterbitkan pada tahun 1995 di mana ia membariskan pelakon hebat seperti Dwayne Johnson, Kevin Hart, Jack Black dan Karen Gillan.
Ia mengisahkan mengenai sekumpulan remaja yang telah dibawa masuk ke dalam sebuah dunia permainan video sekaligus mengawal sendiri karakter pilihan tersendiri dan harus melalui kembara yang sangat mencabar.
Rata-rata ramai yang memberikan komen positif berhubung filem tersebut kerana mereka beranggapan bahawa jalan cerita yang ditampilkan adalah segar dan memiliki keunikannya yang tersendiri.



Sementara Insidious 4: The Last Key yang merupakan siri keempat dalam francais filem Insidious pula menduduki tangga kedua dengan kutipan sebanyak AS$29.3 juta setelah ditayangkan di 3,116 pawagam.
Prestasi yang ditonjolkan dalam filem ini juga dilihat sangat memberangsangkan kerana pada awalnya ia hanya dijangkakan bakal meraih kutipan sekitar AS$16 sehingga AS$19 juta.
Lin Shaye yang pernah membintangi ketiga-tiga siri filem ini juga turut kembali membintangi Insidious 4: The Last Key.
Dia diberikan tanggungjawab untuk melakonkan watak sebagai seorang yang memiliki kuasa psikik dan memiliki pengalaman seram yang sering menghantui dirinya sejak dari kecil sehingga menggugat ketenteraman kehidupan keluarganya.
Ia merupakan sebuah filem seram terbitan Blumhouse Productions yang turut bertanggungjawab dalam menerbitkan beberapa filem berbajet rendah lain seperti Split, Get Out dan Happy Death Day.
Manakala francais filem Insidious pula telah bermula sejak tahun 2010 dan diteruskan ke Insidious Chapter 2 pada tahun 2013 serta Insidious Chapter 3 pada tahun 2015.
Secara purata ketiga-tiga siri filem tersebut telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$357 juta.


Sebagaimana kebanyakan filem terbitan Blumhouse Production yang lain, kos yang diperuntukkan bagi menerbitkan filem ini juga agak rendah iaitu hanya sekitar AS$10 juta dan kutipan yang diperoleh pada minggu pertama tayangannya telah dapat memberikan keuntungan terhadap jumlah kos yang telah dilaburkan.
Ternyata Star Wars: The Last Jedi harus akur untuk berada di tangga ketiga setelah ia hanya berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$23.5 juta hasil tayangan dari 4,232 pawagam.
Secara keseluruhan filem yang menampilkan elemen sains fiksyen itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$573 juta dalam tempoh tayangan selama empat minggu sekaligus menjadi filem keenam yang berjaya mendapat kutipan tinggi bagi pasaran domestik di bawah The Avengers keluaran Marvel.
Sementara The Greatest Showman keluaran Fox pula menduduki tangga keempat dengan kutipan sebanyak AS$13.8 juta hasil tayangan dari 3,342 pawagam.
Filem yang mengisahkan mengenai riwayat kehidupan P.T. Barnum yang merupakan pengasas kepada sebuah sarkas itu dibintangi oleh Hugh Jackman, Zac Efron dan Zendaya.
Manakala Pitch Perfect 3 keluaran Universal pula menduduki tangga kelima setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$10.2 juta.
Secara keseluruhan, filem yang dibintangi oleh Anna Kendrick, Rebel Wilson, Britney Snow dan Anna Camp itu telah berjaya mengumpulkan kutipan keseluruhan menjadi AS$85.9 juta.