Jumlah belia ditangkap berjudi dalam talian meningkat

KUCHING, 9 SEPT – Kes perjudian dalam talian melibatkan golongan belia di Sarawak menunjukkan peningkatan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lepas, kata Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata statistik yang diperoleh kementeriannya menunjukkan sebanyak 1,292 kes perjudian dalam talian dilaporkan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding 608 kes yang dilaporkan untuk tempoh yang sama tahun lepas.

“Peningkatan kes perjudian dalam talian ini berkemungkinan disebabkan belia-belia yang berkurung di dalam rumah kerana PKP,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Katanya bagi tempoh sama, aktiviti perjudian dalam bangunan meningkat kepada 69 kes berbanding 34 kes sepanjang tahun lepas dan perjudian di tempat bebas juga meningkat kepada 69 kes berbanding 34 kes bagi tempoh Januari hingga Disember 2019.

Beliau berkata kementeriannya akan melaksanakan beberapa usaha untuk membendung penglibatan belia dalam aktiviti perjudian. – Bernama