Jumlah dagangan Brunei pada Mac 2019 meningkat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Jumlah perdagangan Negara Brunei Darussalam bagi Mac 2019 menunjukkan peningkatan sebanyak 12.7 peratus kepada $1,290.2 juta berbanding Mac 2018.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi Brunei (JPKE), hari ini, jumlah eksport meningkat 16.7 peratus tahun-ketahun kepada $880.2 juta di mana peningkatan tersebut terutamanya disebabkan oleh peningkatan eksport minyak mentah sebanyak 25 peratus dan eksport gas asli cecair (LNG) 11.6 peratus.

Manakala itu, jumlah import meningkat 5 peratus tahun-ketahun kepada $410 juta.

Lima komoditi import utama pada bulan ini adalah jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 41.1 peratus diikuti barang-barang keluaran kilang sebanyak 20.3 peratus, makanan mencatat 14.4 peratus, bahan-bahan kimia (8.4 peratus) dan bahan api galian (7.5 peratus).

Mengikut Kategori Penggunaan Akhir, import barang perantaraan merangkumi 58.3 peratus daripada jumlah import diikuti import barang modal sebanyak 33.6 peratus dan barang penggunaan 8.1 peratus.

Pasaran eksport terbesar bagi Negara Brunei Darussalam adalah Jepun dengan 36.1 peratus diikuti India (15.9 peratus) dan Republik Korea (12.4 peratus).

Manakala itu, dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah Republik Rakyat China sebanyak 18.8 peratus diikuti Malaysia sebanyak 17.6 peratus dan Singapura mencatat 16.3 peratus.

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.