Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Pada Julai 2021, Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan nilai jumlah perdagangan sebanyak $2,506.1 juta, iaitu peningkatan sebanyak 88.3 peratus daripada $1,330.7 juta pada bulan yang sama bagi 2020.
Manakala itu, bagi perubahan bulan-kebulan, jumlah perdagangan Julai 2021 menurun sebanyak 20.6 peratus berbanding Jun 2021.
Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Julai 2021 berkenaan dikongsi oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam siaran media yang dikeluarkan, di sini, hari ini.
Siaran itu menyatakan bahawa jumlah eksport meningkat sebanyak 181.9 peratus tahun-ke-tahun kepada $1,433.6 juta berbanding $508.5 juta pada Julai 2020 di mana ia terutamanya disebabkan peningkatan eksport bahan api galian kepada $1,171.9 juta pada Julai 2021 daripada $414.6 juta pada Julai 2020 serta juga eksport Kimia kepada $169.8 juta pada Julai 2021 daripada $88.6 juta pada Julai 2020.
Kenyataan menerangkan lagi bahawa peningkatan eksport bahan api galian terutamanya didorong oleh peningkatan dalam nilai eksport minyak mentah, eksport gas asli cecair (LNG) dan eksport produk petroleum daripada aktiviti hiliran.
Peningkatan eksport minyak mentah terutamanya disebabkan oleh peningkatan harga purata kepada AS$75.79 setong bagi Julai 2021 daripada AS$43.96 setong pada Julai 2020 dan peningkatan jumlah isi padu kepada 96.48 ribu tong sehari pada Julai 2021 daripada 45.73 ribu tong sehari pada Julai 2020. Begitu juga bagi eksport LNG, yang mana peningkatannya adalah disebabkan oleh peningkatan harga purata kepada AS$9.39 per MMBtu pada Julai 2021 daripada AS$5.69 per MMBtu pada Julai 2020.
Manakala itu, daripada segi komoditi mengikut seksyen, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam iaitu 81.7 peratus, diikuti dengan Kimia iaitu 11.8 peratus serta jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 5.2 peratus. Kenyataan seterusnya menjelaskan bahawa pasaran eksport utama pada Julai 2021 adalah Singapura iaitu 24.9 peratus diikuti oleh Filipina iaitu 17.4 peratus dan Jepun iaitu 15.1 peratus.
Sementara itu, bagi import pula, jumlah nilai menunjukkan peningkatan kepada $1,072.5 juta pada Julai 2021 daripada $822.2 juta pada Julai 2020 terutamanya disebabkan oleh peningkatan import bahan api galian yang sebahagian besarnya digunakan sebagai input bagi penghasilan produk petrokimia.
Lima komoditi import utama pada bulan berkenaan ialah bahan api galian iaitu 69.2 peratus diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 8.5 peratus, pelbagai barang keluaran kilang iaitu 6.8 peratus, makanan iaitu 5.7 peratus dan kimia iaitu 4.4 peratus.
Kenyataan menyatakan bahawa mengikut kategori penggunaan akhir, import barang perantaraan menyumbang sebanyak 58.8 peratus daripada jumlah import diikuti oleh import barang modal iaitu sebanyak 36.3 peratus dan barang penggunaan iaitu sebanyak 4.9 peratus.
Daripada segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Malaysia iaitu sebanyak 43.7 peratus diikuti oleh Rusia iaitu sebanyak 20.5 peratus dan Indonesia iaitu sebanyak 6.7 peratus.
Komoditi import terbesar dari Malaysia dan Rusia ialah bahan api galian, Manakala dari Indonesia ialah pelbagai barang keluaran kilang.
Mengikut mod pengangkutan, pada Julai 2021, peratus yang tertinggi ialah mod pengangkutan laut berjumlah $2,305.4 juta iaitu sebanyak 92.0 peratus, diikuti oleh pengangkutan udara iaitu $178.9 juta atau 7.1 peratus dan melalui darat iaitu sebanyak $21.8 juta atau 0.9 peratus.
IMTS bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan General System bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.
Mereka yang ingin mendapatkan laporan penuh IMTS bagi Julai 2021, boleh mendapatkannya melalui laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn.