Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Jumlah dagangan Mac meningkat 36.1 peratus

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan nilai jumlah perdagangan sebanyak $2,501.8 juta pada Mac 2022, iaitu peningkatan sebanyak 36.1 peratus daripada $1,838 juta pada bulan yang sama 2021 dengan perubahan bulan-ke-bulan, jumlah perdagangan bagi Mac 2022 meningkat sebanyak 11.5 peratus berbanding Februari 2022.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, jumlah eksport meningkat sebanyak 59.3 peratus tahun-ke-tahun kepada $1,688.1 juta berbanding $1,059.6 juta pada Mac 2021.

    Ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan eksport bahan api galian kepada $1,327.8 juta pada Mac 2022 daripada $804.7 juta pada Mac 2021. Di samping itu, eksport kimia juga meningkat kepada $320.6 juta pada Mac 2022 daripada $228.1 juta pada Mac 2021.

    Peningkatan eksport bahan api galian didorong oleh peningkatan nilai eksport gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum. Peningkatan eksport LNG terutamanya disebabkan oleh peningkatan harga purata kepada AS$11.94 per MMBtu pada Mac 2022 daripada AS$7.01 per MMBtu pada Mac 2021.

    Manakala nilai eksport produk petroleum daripada aktiviti hiliran meningkat kepada $750 juta, yang mana komoditi utama ialah bahan api diesel automotif.

    Jumlah dagangan negara pada Mac 2021 dan Mac 2022 mencatatkan peningkatan sebanyak 36.1 peratus. – Rajah serahan JPES

    Dari segi komoditi mengikut seksyen, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam iaitu 78.6 peratus, diikuti dengan bahan kimia iaitu 19 peratus dan jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 0.7 peratus.

    Pasaran eksport utama pada Mac 2022 adalah Republik Rakyat China dengan 17.8 peratus, diikuti oleh Jepun dengan 16.7 peratus dan Australia dengan 16 peratus. Komoditi eksport terbesar ke Republik Rakyat China ialah bahan kimia, manakala ke negara Jepun dan Australia ialah bahan api galian.

    Bagi import pula, jumlah nilai menunjukkan peningkatan kepada $813.7 juta pada Mac 2022 daripada $778.4 juta pada Mac 2021 terutamanya disebabkan peningkatan import kimia.

    Lima komoditi import utama pada bulan itu ialah bahan api galian dengan 52.3 peratus diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 12.9 peratus, kimia iaitu 11.6 peratus, makanan iaitu 8.2 peratus dan barang keluaran kilang iaitu 7.1 peratus.

    Mengikut kategori penggunaan akhir, import barang perantaraan menyumbang sebanyak 59 peratus daripada jumlah import diikuti oleh import barang modal iaitu 35.2 peratus dan barang penggunaan iaitu 5.8 peratus.

    Dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Malaysia dengan 33.8 peratus, diikuti oleh Arab Saudi dengan 15.7 peratus, Republik Rakyat China dengan 15.3 peratus dan Australia dengan 8.4 peratus dengan komoditi import terbesar ialah bahan api galian.

    Mengikut mod pengangkutan, pada Mac 2022, peratus tertinggi bagi kedua-dua eksport dan import adalah mod pengangkutan laut berjumlah $2,347 juta atau 93.8 peratus, diikuti oleh pengangkutan udara iaitu $109 juta atau 4.4 peratus dan melalui darat iaitu $45.8 juta atau 1.8 peratus.

    Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan sistem am bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

    Laporan penuh IMTS bagi Mac 2022 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...