Jumlah dagangan meningkat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Jumlah perdagangan negara meningkat 15.1 peratus kepada $1,170 juta pada April 2019 berbanding bulan April 2018.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, jumlah eksport turut meningkat 24 peratus tahun-ketahun kepada $748.5 juta di mana peningkatan ini disebabkan oleh peningkatan eksport minyak mentah sebanyak 8.8 peratus dan eksport gas cecair asli (LNG) sebanyak 41.8 peratus.

Manakala jumlah import meningkat 2 peratus tahun-ketahun kepada $421.5 juta yang mana lima komoditi import utama pada bulan ini adalah jentera dan kelengkapan pengangkutan yang mencatat 40.8 peratus diikuti oleh barang-barang keluaran kilang sebanyak 19.2 peratus.

Sementara makanan pula mencatat 16.4 peratus, pelbagai barangan kilang 8.7 peratus dan 6.4 peratus bagi bahan-bahan kimia.

Mengikut kategori penggunaan akhir, import barang perantaraan merangkumi 58.4 peratus dari jumlah import diikuti oleh import barang modal yang mencatat 32.8 peratus dan barang penggunaan sebanyak 8.8 peratus.

Pasaran eksport terbesar bagi Negara Brunei Darussalam adalah Jepun yang mencatat sebanyak 37 peratus diikuti oleh Korea Selatan 16.1 peratus dan 12.9 peratus adalah Thailand.

Sementara dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah Jepun (16.6%) diikuti oleh Malaysia (16.3%) dan China (16.2%). Laporan penuh mengenainya boleh didapati melalui laman sesawang JPKE di www.depd.gov.bn.