KUCHING, 6 Ogos – Jumlah dagangan antara Sarawak dan China berjumlah RM15.8 bilion pada tahun lepas dengan Sarawak mencatatkan eksport sebanyak RM10.1 bilion, manakala import bernilai RM5.7 bilion.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama perniagaan antara kedua-dua negara melibatkan gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum, minyak sawit, produk perkayuan dan komponen elektrik, barang-barang pembuatan, jentera dan makanan.
Katanya memandangkan China merupakan peneraju dalam inovasi dan menunjukkan pemecutan transformasi ekonomi menerusi Ekonomi Digital, Sarawak yakin dapat mempelajari daripada negara itu dalam mentransformasikan ekonomi melalui Ekonomi Digital.
“Ini khususnya perusahaan kecil dan sederhana, mereka memerlukan tanda aras atau mengguna pakai model perniagaan serupa untuk berjaya dalam e-dagang. Dengan kewujudan secara dalam talian, dunia ini adalah pasaran kita,” katanya dalam ucap tama pada Forum Sarawak-China di sini hari ini.
Beliau berkata Sarawak menyasarkan Ekonomi Digital menyumbang sebanyak 17.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025, manakala sumbangan Ekonomi Digital kepada KDNK pada tahun ini dijangka sebanyak 2.3 peratus.

Abang Johari berkata China dan Sarawak berkongsi cabaran yang sama dalam menggalakkan masyarakat luar bandar menggunakan e-dagang.
“Dengan kadar penembusan pengguna telefon bimbit di Malaysia, khususnya di Sarawak, kita memerlukan penyelesaian yang inovatif untuk sampai kepada penduduk di luar bandar.
Kami percaya terdapat bidang lain untuk Sarawak dan China bekerjasama,” katanya.
Bidang kerjasama itu antara lain meliputi pertanian, pelancongan, kesihatan, pendidikan, pembinaan struktur mega dan e-dagang.
Abang Johari turut melahirkan keyakinan dengan kerjasama dan sokongan China, Sarawak mampu merealisasikan transformasi ekonomi negeri itu menerusi inisiatif Ekonomi Digital. – Bernama