Jumlah harimau di India meningkat

NEW DELHI, 4 DIS – Bilangan harimau di India meningkat sebanyak 750 ekor dalam tempoh empat tahun lepas, menjadikan jumlahnya sehingga kini ialah 2,976 ekor, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Prakash Javadekar di Dewan Negara yang digelar sebagai Rajya Sabha di Parlimen pada Isnin.

“Terdahulu, jumlah harimau di negara ini ialah 2,226 ekor. Kini jumlahnya ialah 2,976. Oleh itu, kita harus bangga dengan sistem ekologi kita secara keseluruhan. Jumlah harimau meningkat sebanyak 750 ekor dalam tempoh empat tahun lepas,” kata Javadekar ketika menjawab soalan semasa persidangan dewan itu.

Menteri itu berkata haiwan seperti singa, harimau, gajah dan badak adalah aset India, dan jika sebarang kematian akibat virus dilaporkan, siasatan khas perlu dijalankan untuk menentukan puncanya.

Menyentuh kemerosotan hutan yang meliputi beberapa kawasan di negara itu, menteri tersebut berkata terdapat survei baharu yang dijalankan bagi tempoh 2019-2020 pada akhir bulan. – Bernama