Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Jumlah jangkitan turun drastik di institusi Jabatan Penjara

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Jangkitan COVID dalam kalangan institusi Jabatan Penjara di negara ini bermula sekitar penghujung Februari lalu di mana 38 orang telah dikesan terjangkiti dan berlaku lonjakan penularan mencapai 602 orang pada 1 Mac lalu.

    Sehubungan itu, dalam menangani cabaran dan masalah berkenaan, para pegawai perubatan bersama kakitangannya di bawah jabatan berkenaan terus mendapatkan nasihat dan bekerjasama Kementerian Kesihatan serta melaksanakan langkah-langkah bagi memutuskan rangkaian jangkitan daripada semakin berleluasa.

    Ke arah usaha bersama itu, setakat hari ini, jumlah jangkitan yang terjadi dilihat semakin menurun secara drastik iaitu hanya 35 orang yang dijangkiti.

    Perkara berkenaan ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika menjawab mengenai situasi jangkitan dan tindakan yang telah dilaksanakan di institusi Jabatan Penjara, semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, petang tadi.

    “Antara langkah-langkah intervensi yang dilaksanakan menerusi penekanan protokol-protokol kesihatan meliputi membuat ujian pantas antigen (ART) pada hari kelima dan ketujuh dan begitu juga menangguhkan lawatan ahli keluarga dan agensi-agensi kerajaan serta peguam-peguam untuk tidak hadir buat sementara waktu di penjara; dan begitu juga warden-warden yang bertugas juga dikehendaki memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE),” kongsinya lanjut.

    Di samping itu, jelas Yang Berhormat Pehin, melalui rancangan pemulihan rohani, pihak jabatan terus komited dalam memperkasakan kalangan banduan untuk sentiasa mendalami ilmu-ilmu agama Islam seperti membaca Al-Quran, Surah Yasin dan Sembahyang Sunat Hajat yang secara langsung sebagai usaha untuk sama-sama memohon pertolongan kepada Allah SWT di samping berusaha mengawal jangkitan selama ini.

    Pada masa yang sama, Yang Berhormat Pehin turut berkongsi bahawa warden dan kakitangan yang lain juga akan dikehendaki menjalani saringan ART sebanyak dua kali iaitu sebelum dan selepas bekerja.

    Hal ini juga sebagai salah satu usaha bagi mengawal sebarang jangkitan berlaku semasa bertugas dari semasa ke semasa. Pada masa ini seramai 96 orang warden didapati positif dan masih menjalani pengasingan.

    “Saya berharap ahli-ahli keluarga di luar sana tidak merasa khuatir dan pastinya pihak Jabatan Penjara terus berusaha menjaga kesejahteraan dan keselamatan para banduan dan juga para petugas supaya sentiasa dalam keadaan selamat,” ujarnya lagi.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar ketika menjawab mengenai situasi jangkitan dan tindakan yang telah dilaksanakan di institusi Jabatan Penjara, semasa sidang media. – Gambar oleh Syahmi Hassan
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...