Jumlah kemalangan jalan raya Thai menurun

BANGKOK, 23 JUN – Kementerian Pengangkutan Thailand hari ini mengatakan jumlah kemalangan jalan raya menurun 13 peratus bulan lalu, sebahagian besarnya kerana dasar duduk rumah semasa sekatan pandemik COVID-19 di negara itu.

Jabatan Lebuh raya kementerian itu melaporkan bulan Mei hanya menyaksikan 1,042 kemalangan, mengakibatkan 175 kematian dan 776 kecederaan. “Berbanding Mei 2019, jumlah kemalangan jalan raya ini menurun 13 peratus, dengan 29 peratus pengurangan dalam kecederaan,” kata jabatan itu dalam laporan terkininya. “Walau bagaimanapun, angka kematian meningkat 17 peratus.”

Jabatan itu mengatakan rekod itu dikumpulkan oleh Sistem Pengurusan Maklumat Kemalangan Lebuh Raya yang merekodkan jenis dan punca utama kemalangan jalan raya.

Punca utama kemalangan kebanyakan kerana memandu lebih had laju, memintas pada jarak dekat, tertidur dan peralatan kenderaan yang tidak berfungsi baik. – Xinhua