Jumlah kemalangan maut menurun

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Jumlah kemalangan maut jalan raya menunjukkan trend menurun dengan sebanyak 29 kematian dicatatkan pada tahun 2017, menurun kepada 17 kematian pada 2018, meningkat kepada 23 orang pada 2019 dan pada 2020, hanya 11 kematian dicatatkan.

Pada tahun ini, empat kemalangan maut dicatatkan dari Januari sehingga Februari, termasuk satu kemalangan penunggang motosikal di Temburong dan satu di Tutong yang mana mangsa mengalami serangan jantung ketika memandu.

Perkara itu didedahkan oleh Urus Setia Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), Haji Syafien bin Yandol pada Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya bagi Sektor Kerajaan di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi hari ini.

Taklimat anjuran Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) yang merupakan salah satu program inisiatif Strategic Outcome Brunei Darussalam Road Safety Strategic Pelan 2025 dan dihadiri 100 orang, bertujuan memberigakan dan meningkatkan lagi kesedaran serta pemahaman pemandu atau pengguna jalan raya mengenai pentingnya keselamatan jalan raya.

Ia merupakan kesinambungan sesi Taklimat Pengenalan Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya yang diadakan di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi kepada Road Safety Champions yang telah dilantik semasa Majlis Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2020 pada 28 November 2020.

Haji Syafien ketika menyampaikan Taklimat Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya bagi Sektor Kerajaan yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, kelmarin.
Antara yang hadir pada taklimat tersebut.

Program itu menyasarkan seramai 10,000 orang penjawat awam di sektor awam dan juga seramai 10,000 orang penjawat di sektor swasta untuk menerima taklimat pada 2021 yang mengetengahkan mengenai etika pemanduan dan perundangan.

MKKJR menyeru semua pengguna jalan raya supaya meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika berada di jalan raya dan sentiasa mengamalkan sikap memandu yang berhemah.

MKKJR juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan keselamatan jalan raya terjaga, ini termasuk daripada perancangan, penyediaan dasar, penguatkuasaan, petugas kecemasan, NGO dan orang ramai.

Semua pengguna jalan sama-sama mempunyai tanggungjawab dan memainkan peranan dalam menjaga diri mereka dan orang di sekeliling termasuk harta benda.

Sikap dan budaya mengutamakan keselamatan jalan raya akan membantu mengelakkan dari berlakunya kemalangan dan adalah penting bagi keselamatan semua.