Jumlah kematian akibat COVID-19 kini 55 orang

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Dua lagi kes yang telah disahkan positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah kembali ke rahmatullah, hari ini, sekali gus mencatatkan jumlah keseluruhannya kepada 55 orang.

“Kes pertama merupakan seorang lelaki berumur 40 tahun yang mengalami beberapa masalah kesihatan dan tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan oleh COVID-19,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini.

Manakala itu, katanya, kes kedua ialah seorang perempuan berumur 48 tahun yang telah mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19 dan telah menerima rawatan di unit rawatan intensif.

Di kesempatan itu, Yang Berhormat Dato mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat di negara ini mengucapkan takziah kepada keluarga kes-kes berkenaan.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya.