Jumlah kematian COVID-19 lepasi 4.5 juta

PARIS, 30 OGOS – Dunia telah mencatatkan 4.5 juta kematian akibat COVID-19, menurut jumlah AFP hari ini, ketika varian Delta mencetuskan huru-hara global.

Sejak penularannya muncul di China pada Disember 2019, virus itu telah meragut sekitar 4,500,620 nyawa, menurut jumlah rasmi yang didedahkan.

Kira-kira 10,000 kematian dilaporkan setiap hari di dunia, jumlah yang sedikit rendah daripada bulan Januari apabila puratanya 14,800 orang terkorban setiap hari.

Namun jumlah itu lebih tinggi daripada permulaan Julai apabila kira-kira 7,800 kematian harian didaftarkan.

Dengan purata 1,290 kematian sehari pada minggu lalu, Amerika Syarikat sekali lagi menjadi negara paling banyak korban jiwa di dunia.

Pada Januari, ia telah mendaftarkan sekitar 3,380 kematian sehari, jumlah yang telah menurun kepada 200 pada awal musim panas ini.

Namun ia berdepan gelombang varian Delta yang mudah berjangkit yang menular ke negara-negara seluruh dunia sejak ia dikenal pasti di India pada April.

Pandemik itu sudah pun menuntut lebih banyak kematian pada 2021 berbanding 2020, dengan lebih 2.6 juta kematian secara rasminya dilaporkan sejak Januari berbanding di bawah 1.9 juta pada keseluruhan tahun lalu.

Negara-negara seluruh dunia berharap vaksin-vaksin akan dapat mengurangkan penularan virus, namun adanya ketaksamaan antara negara-negara kaya dan miskin. – AFP