Jumlah kematian kebakaran hutan Australia meningkat 4

BURRELL CREEK, AUSTRALIA, 14 NOV – Jumlah kematian akibat kebakaran hutan di timur Australia telah meningkat kepada empat orang selepas mayat seorang lelaki ditemui di kawasan hutan belukar terbakar, kata polis hari ini.

Tiga yang lain ditemui rentung dalam kebakaran di New South Wales, kejadian paling teruk yang menjejaskan kerajaan itu oleh beberapa siri bencana kebakaran yang meletus di sepanjang timur kawasan pinggir laut lewat minggu lalu.

Penduduk telah menemui mayat itu – dipercayai lelaki berusia 58 tahun kali terakhir dilihat pada Jumaat – dekat bandar Kempsey New South Wales, salah satu kawasan yang dilanda kebakaran baru-baru ini.

Lebih 100 kebakaran melanda hari ini namun sedikit berkurangan dengan penduduk pulang memeriksa sisa-sisa rumah mereka.

Ratusan buah rumah telah musnah manakala lebih satu juta hektar tanah terbakar.

Keadaan mencabar dijangka memuncak lagi di Queensland dan New South Wales pada hujung minggu ketika suhu meningkat dan angin kencang dengan kebanyakannya sukar ditangani.

Di Burrell Creek, puluhan anggota bomba bersedia untuk menangani kebakaran tidak terkawal yang sejauh ini meranapkan 24,000 hektar dari bandar pesisir pedalaman Old Bar hingga Hillville di utara New South Wales.

Haiwan liar juga terjejas akibat kebakaran itu dengan penyokong pemuliharaan menganggarkan ratusan koala telah mati.– AFP

Seorang lelaki menggunakan tuala basah memadamkan kebakaran ketika ia merebak ke ladang dekat Taree, utara Sydney pada 14 November. – AFP