Sunday, December 10, 2023
28.8 C
Brunei

    -

    Jumlah kematian rakyat Palestin di Gaza cecah 13,000

    BANDARAYA GAZA, 20 NOV – Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas mencecah 13,000 orang, termasuk lebih 5,500 kanak-kanak dan 3,500 wanita.

    Menurut kenyataan pejabat media wilayah itu, jumlah kecederaan pula melebihi 30,000 orang dengan lebih 75 peratus daripada mereka kanak-kanak dan wanita, lapor Agensi Anadolu.

    Jumlah penduduk yang hilang melepasi 6,000 orang dengan kebanyakan mereka disyaki tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

    Bilangan masjid yang musnah sepenuhnya sebanyak 83 dan 166 lagi rosak manakala tiga gereja turut menjadi sasaran serangan Israel, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad itu.

    Selain itu, lebih 43,000 buah rumah musnah sepenuhnya manakala 225,000 lagi rosak, ini bermakna 60 peratus unit kediaman di Semenanjung Gaza terjejas akibat pengeboman Israel.

    Menurut pihak berkuasa itu, sebanyak 25 hospital dan 52 pusat kesihatan tidak beroperasi sejak tentera penceroboh melancarkan serangan.

    Tentera Israel juga menyasarkan 55 ambulans manakala berpuluh-puluh ambulans tidak beroperasi kerana kekurangan bahan api.

    Menurut pejabat itu Israel dan komuniti antarabangsa bertanggungjawab sepenuhnya atas jenayah berterusan di Semenanjung Gaza.

    Pejabat itu menyeru komuniti antarabangsa untuk terus memberi tekanan bagi menamatkan perang dan jenayah kemanusiaan selain menggesa bantuan dan bekalan perubatan serta bahan api untuk hospital. – Bernama

    Rakyat Palestin membawa mayat saudara-mara yang terbunuh berikutan serangan Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 20 November 2023, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan pejuang Hamas Palestin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    India larang eksport bawang

    NEW DELHI, 8 DIS – India melarang eksport bawang sehingga Mac tahun depan bagi meningkatkan bekalan domestik selain membendung inflasi pengguna. Kerajaan memutuskan untuk memindahkan...