Jumlah kes COVID-19 India atasi Brazil

NEW DELHI, 7 SEPT – India memulakan perkhidmatan metro hari ini selepas hampir enam bulan ditangguhkan ketika negara berpenduduk ramai itu mengatasi Brazil, menjadi negara kedua paling teruk terjejas dari segi kes koronavirus, setelah Amerika Syarikat (AS).

Meskipun adanya peringatan yang ia mungkin saja akan mengatasi AS, India tetap membuka semula ekonominya yang dibadai teruk pandemik.

Para penumpang memakai penutup mulut dan hidung duduk di kerusi yang kebanyakannya masih kosong dan menunjukkan isyarat tangan kepada wartawan hari ini di stesen metro di bandar New Delhi – salah sebuah bandar yang paling teruk dilanda selain pusat kewangan Mumbai.

Para penumpang hanya boleh duduk berselang seli selepas menjalani pengimbasan suhu badan.

“Tidak ada masalah perjalanan dalam metro. Jarak fizikal telah dipatuhi dan … orang ramai menggunakan penutup mulut dan hidung serta melakukan sanitasi,” kata penumpang Deepak Kumar, yang menaiki kereta api bawah tanah untuk bekerja di Delhi, kepada AFP.

“Demi kehidupan yang perlu diteruskan, kita perlu keluar dari rumah kita… jadi ini adalah langkah terbaik kerajaan untuk memulakan dengan kereta api metro.”

Penyambungan semula perkhidmatan metro muncul ketika negara Asia Selatan itu mencatatkan 4.2 juta jangkitan sejak pandemik bermula, menurut data Kementerian Kesihatan.

Ia mengatasi jumlah Brazil, menjadikan ia jumlah kedua tertinggi setelah AS sekitar 6.25 juta.

India juga mencatatkan 71,642 kematian, kurang sedikit dari Brazil sekitar 126,203 dan 188,540 di AS.

Kebanyakan pakar, bagaimanapun, mengatakan ia tidak melakukan banyak ujian ke atas seluruh penduduk dan tidak mencatatkan jumlah korban jiwa dengan betul, bermaksud jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.

Sejak Ogos, negara dengan penduduk 1.3 bilion itu, rumah kepada bandar-bandar yang mempunyai penduduk paling padat di dunia, telah melaporkan peningkatan tertinggi sehari tunggal di dunia.

Hari ini ia telah melaporkan pertambahan lebih 90,000 kes.

Jumlah keseluruhan kes telah melebihi 4 juta pada Sabtu, hanya 13 hari selepas mencecah 3 juta. – AFP