Jumlah kes COVID-19 India hampiri 20 juta

NEW DELHI, 3 MEI – Jumlah kes jangkitan COVID-19 hampir mencecah 20 juta dengan kekurangan oksigen memburukkan lagi gelombang kedua hari ini, ketika EU mengusulkan peraturan baharu yang akan membenarkan pengunjung yang sepenuhnya divaksinasi untuk memasuki blok.

Kes telah meningkat sekitar lapan juta sejak hujung Mac, dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi berada di bawah tekanan memuncak untuk mengambil tindakan muktamad dalam mengurangkan peningkatan itu.

Puluhan mati pada hujung minggu di hospital akibat kekurangan peralatan yang memaksa klinik-klinik di bandar New Delhi menghantar rayuan segera bagi meminta bantuan dalam media sosial.

“Oksigen adalah keperluan asas bagi sebuah hospital dan bekalan berterusan tidak dapat dijamin. Kami sedang bergelut,” kata ketua Hospital Kanak-kanak Pelangi Madhukar, Dr Dinesh memberitahu akhbar Indian Express.

Krisis itu sudah pun memaksa Liga Perdana India dibatalkan pada musim ini selepas dua pemainnya diuji positif.

Petugas kesihatan memakai sut pelindung peribadi (PPE) ketika memantau pesakit koronavirus dalam pusat perkampungan Sukan Komanwel yang diubahsuai sementara menjadi kemudahan penjagaan COVID-19 di New Delhi pada 2 Mei. – AFP

Di tengah-tengah kekurangan bekalan, pihak berkuasa kerajaan dan persekutuan India bergelut untuk mendapatkan oksigen tambahan ke hospital-hospital termasuk dengan menyalurkannya dari industri keluli dan menghantar kereta api khas ‘Oksigen Ekspres’.

Negara-negara lain juga menghantar bekalan ke negara tersebut.

Jerman dan Perancis minggu ini menghantar peralatan perubatan termasuk loji penjanaan oksigen.

“Di luar sana, hospital sudah penuh. Sebahagiannya meninggal dunia di hadapan hospital. Mereka tidak mempunyai oksigen,” kata duta Jerman, Walter J. Lindner.

Dibebani dengan kekalahan dalam pilihan raya peringkat negara dan Mahkamah Agung memerintahkannya untuk membaiki situasi oksigen di Delhi menjelang tengah malam, Perdana Menteri Modi mengadakan rundingan bersama Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen hari ini.

Kedua-duanya membincangkan ‘situasi semasa COVID-19 di India dan EU’, menurut kenyataan dari pejabat Modi.– AFP