Jumlah kes di Malaysia lepasi 150,000

KUALA LUMPUR, 15 JAN – Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Malaysia hari ini melepasi 150,000 dengan jumlah kes harian direkodkan sebanyak 3,211 kes dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes harian itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 sebanyak 151,066, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan kini 35,253.

“Daripada keseluruhan kes baharu yang direkodkan hari ini lima daripadanya merupakan kes import dan selebihnya adalah penularan tempatan,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 889 kes, diikuti Johor (535 kes) dan Sabah sebanyak 514 kes.

Selain itu, lapan kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian dalam negara sebanyak 586 kes daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian itu melibatkan dua mangsa di Sabah, empat kes di Selangor serta masing-masing satu kes di Kedah dan Johor, yang kesemua mangsa berumur antara 62 hingga 79 tahun. – Bernama

Orang ramai mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengimbas suhu badan sambil dipantau oleh beberapa anggota polis bantuan ketika berbelanja keperluan harian di Pasar Borong Pandan, Johor Baharu, kelmarin. – Bernama