Jumlah kes di Singapura lepasi 13,000

SINGAPURA, 26 APRIL – Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura hari ini melaporkan 931 kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlahnya 13,624 kes.

Dalam satu kenyataan di sini, MOH memaklumkan peningkatan itu disumbangkan oleh majoriti kes melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama pekerja manakala hanya 15 kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap.

Daripada jumlah semalam iaitu 12,693 kes, Singapura mengklasifikasi 10,525 kes dari asrama pekerja asing atau kira-kira tiga peratus daripada jumlah kira-kira 323,000 pekerja asing yang ditempatkan di asrama pekerja.

Kementerian berkenaan memaklumkan ia masih mengkaji butiran kes berkenaan dan perkembangan terbaharu mengenainya akan diumumkan kemudian hari ini.

Setakat tengah hari semalam, Singapura mencatatkan 618 kes baharu jangkitan COVID-19, dengan kira-kira 96 peratus adalah penghuni asrama manakala 12 lagi pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama.

Tiada kes import dilaporkan manakala hanya sembilan kes dalam komuniti pada Sabtu.

Dalam kenyataan terperinci yang dikeluarkan lewat malam tadi, MOH menyatakan ia mengesan banyak lagi kes susulan ujian yang meluas.

“Kebanyakan kes berkenaan melibatkan sakit ringan dan menerima pengawasan dalam fasiliti pengasingan komuniti atau wad umum di hospital. Tiada seorang pun daripada mereka menerima rawatan di unit rawatan rapi,” menurutnya.

MOH menyatakan daripada 618 kes baharu semalam, 81 peratus dikaitkan dengan kluster yang diketahui manakala yang lain masih menunggu pengesanan kontak.

Pada minggu lepas (18-24 April), kementerian mengesan pertalian bagi 1,226 kes yang sebelum ini dalam kes tidak dikaitkan.

Sementara itu, seramai 1,002 kes telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti, 24 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi manakala 12 meninggal dunia.

Singapura mengenal pasti tujuh kluster baharu pada Sabtu, iaitu ASPRIWestlite Papan; Kian Teck Hostel; SCM Tuas Lodge; Northpoint City; 21, Defu South Street 1; 8, Martin Place; dan 107, West Coast Vale.

Kluster terbesar di Singapura ialah S11 Dormitory @ Punggol yang setakad ini mempunyai 2,268 kes disahkan positif COVID-19.

Daripada jumlah pada Sabtu, Singapura juga mengklasifikasi 1,135 sebagai kes komuniti, 569 kes import, dan 464 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak mendiami asrama. – Bernama