Jumlah kes koronavirus ‘stabil’ – WHO

GENEVA, 9 FEB – Jumlah kes koronavirus novel yang dilaporkan setiap hari di China ‘sudah stabil,’ kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia semalam.

Agensi kesihatan PBB itu berkata ia merupakan ‘berita baik’ namun mengingatkan bahawa masih terlalu awal untuk membuat sebarang ramalan mengenai sama ada virus tersebut mungkin telah mencecah tahap kemuncak.

“Terdapatnya penstabilan dalam jumlah kes yang dilaporkan dari Hubei,” kata Michael Ryan, ketua Program Kecemasan Kesihatan WHO pada satu taklimat di Geneva.

Wilayah tengah China Hubei telah menjadi pusat wabak virus dan telah ditutup oleh pihak berkuasa dalam usaha membendung virus berkenaan.

“Kami berada dalam tempoh stabil empat hari di mana jumlah kes yang dilaporkan belum meningkat. Ia adalah berita baik dan mungkin mencerminkan impak langkah kawalan yang telah dilaksanakan,” kata Ryan.

Namun beliau menambah ‘masih terlalu awal untuk membuat sebarang ramalan.’

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata trend berkenaan ‘tidak meningkat pesat’ tetapi meminta orang ramai supaya mengambil langkah ‘berjaga-jaga’ juga.

Koronavirus telah menjangkiti lebih daripada 34,500 orang dan membunuh lebih daripada 700 yang lain.

Tedros mengingatkan supaya jangan menyebar maklumat salah tentang virus, berkata ia menjadikan kerja-kerja kakitangan penjagaan kesihatan lebih merumitkan.

“Kami bukan sahaja melawan virus, kami juga melawan teori konspirasi yang memberikan maklumat salah dan menjejaskan respons wabak,” kata beliau.

Ketika ditanya mengenai misi antarabangsa pimpinan WHO ke China, beliau juga berkata satu senarai nama telah pun dihantar kepada pihak berkuasa China dan ketua kumpulan akan berkunjung ke sana pada Isnin atau Selasa. – AFP