Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Jumlah ketibaan pelancong meningkat

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Kadar tempahan bilik oleh pelancong antarabangsa di 15 buah hotel terbesar di negara ini secara keseluruhannya meningkat daripada 8,271 tempahan kepada 12,406 tempahan iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus dari bulan Ogos ke September 2022.

    Ini menunjukkan sektor pelancongan mencatatkan peningkatan jumlah pelancong antarabangsa sejak sekatan perjalanan dilonggarkan secara berperingkat khususnya selepas aktiviti rentas sempadan dibenarkan bermula bulan Ogos tahun ini.

    Kebanyakan hotel dan tempat penginapan pelancong serta para penyedia perkhidmatan pelancongan di negara ini turut menyatakan bahawa mereka mula menerima tempahan dan kunjungan bukan sahaja daripada penduduk tempatan tetapi juga pelancong asing, yang memberikan petanda industri pelancongan semakin kembali pulih ke tahap pra-pandemik.

    Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Diraja Brunei (RB), kadar pelancong antarabangsa dijangka akan terus meningkat dengan bertambahnya kekerapan penerbangan serta penyambungan semula penerbangan-penerbangan ke negara ini dalam beberapa bulan akan datang.

    Menurutnya lagi, meskipun keadaan industri pelancongan masih belum stabil sepenuhnya, beliau menjangkakan peningkatan yang signifikan dengan adanya pembukaan sempadan di Asia Utara.

    Gambar fail Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang merupakan salah sebuah tempat tarikan pelancong di negara ini. Jumlah ketibaan pelancong antarabangsa meningkat sejak sekatan perjalanan dilonggarkan.

    Beliau seterusnya menekankan peranan RB selaku syarikat penerbangan kebangsaan dalam mendukung Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) dalam meningkatkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa yang merupakan antara komitmen utama syarikat tersebut.

    Manakala bagi beberapa para penyedia perkhidmatan pelancongan yang berasaskan komuniti pula ada yang tidak sanggup lagi menerima tempahan disebabkan permintaan yang mendadak khususnya di penghujung tahun disebabkan oleh musim cuti persekolahan bulan Disember.

    Sementara itu, menurut pengurus Eco Ponies Sdn Bhd, syarikat tersebut telah pun menerima tempahan penuh setiap hari pada setiap minggu sehingga bulan Januari 2023 daripada pengunjung tempatan dan antarabangsa yang majoritinya merupakan pelancong dari Malaysia, Itali, Barcelona dan Belanda.

    Beberapa langkah telah diambil oleh JKP sejak tahun lalu ketika negara melalui fasa pemulihan COVID dengan membuat persediaan bagi menerima kedatangan pelancong.

    Antara persediaan tersebut adalah melaksanakan latihan peningkatan kemahiran dan kapasiti bagi pemandu-pemandu pelancong dan para penyedia perkhidmatan pelancongan serta pembangunan infrastruktur seperti pemasangan papan tanda arah pelancongan di Daerah Temburong, menaik taraf infrastruktur dan penyediaan papan tanda bagi mempromosikan eko-pelancongan di Taman Rekreasi Hutan Luagan Lalak; dan pemasangan papan-papan tanda di Taman Peranginan Tasek Lama bagi aktiviti Birdwatching.

    Menurut Pemangku Pengarah Kemajuan Pelancongan, meskipun industri pelancongan kini mulai lega dengan kedatangan pelancong dari luar Negara, usaha ke arah mempromosikan pelancongan domestik tetap dipergiatkan bagi memastikan sumber pendapatan pelancongan yang mampan dan berdaya tahan.

    Sebagai contoh, kempen Kenali Negara Kitani yang sedang giat dijalankan yang melibatkan aktiviti seperti jerayawara, karnival dan kempen KNK di media sosial bagi mempromosikan tempat-tempat pelancongan dan aktiviti-aktiviti eksperimental yang boleh dilakukan bukan sahaja oleh pengunjung tempatan tetapi juga para pelancong antarabangsa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...